TERKINI: Tok Mat sahkan Bersatu nak bunuh Umno



PETALING JAYA: Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan menegaskan beliau tidak akan berdiam diri sekiranya parti itu terus ditekan oleh PPBM termasuk usaha untuk merampas kubu UMNO.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata PPBM perlu berusaha untuk menawan kerusi milik pembangkang yang dahulunya rakan mereka di dalam Pakatan Harapan.

“Kita bukan dengki atau nak bunuh siapa-siapa tetapi kau (PPBM) yang nak bunuh kita. Takkan UMNO dayus nak diam sahaja. Saya selaku timbalan presiden parti saya akan lawan untuk parti,” katanya dalam program bual bicara anjuran Studio UN9 di Facebook, malam ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan berkata, UMNO-PAS-PPBM sudah bersetuju tiada adegan pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya umum nanti.


“Kita dah setuju, dia (PPBM) mesti hormati asas ini. Kenapa nak berkubang dalam kubang kita? Kau pergilah berkubang dalam kubang PKR-Amanah-DAP yang ada dekat 100 kerusi boleh rebut. Sesuatu tak betul di sini,” katanya.

Mohamad berkata, PPBM perlu mengamalkan strategi berbeza daripada yang dibawa UMNO dengan menumpukan kawasan yang belum dikuasai gabungan PN.

“Ni kau berkubang dalam ‘red ocean’ yang dah sesak dengan UMNO dan PAS. Ni datang lagi seorang nak rebut ‘market share’ (kubu) kita. Sudah tentu UMNO tak suka… tak selesa. Bila ini terjadi, janganlah salahkan UMNO,” katanya.

Mengenai kerjasama UMNO dan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN), beliau menegaskan, hubungan dua parti terbesar itu berjalan dengan baik atas dasar semangat penyatuan ummah, bukannya berpaksikan matlamat politik seperti digembar-gemburan oleh sesetengah pihak.


“Pada 14 Sept 2019, UMNO dan PAS tandatangan Piagam MN yang hanya menumpukan bagaimana kita nak satukan Melayu-Islam supaya tidak berpecah.

“Dari awal kita dah tahu, UMNO dan PAS ini umpama air dan minyak… tak mungkin boleh bercampur berdasarkan ideologi. Jadi kita tegaskan MN bukan satu entiti politik, hanya gerakan berteraskan agama dan semangat ‘brotherhood’ sesama Muslim,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, UMNO dan Pas masih bermesyuarat atas platform MN dalam usaha memperkemaskan gerakan Melayu-Islam supaya orang Melayu tidak berpecah seperti sebelum ini.

“Kita masih bersama dan bermesyuarat walaupun PAS dah sertai PN. Apa yang kita mahu, gerakan ini diperkemas lagi supaya orang Melayu tidak berpecah,” katanya. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram