Tak mustahil UMNO kerjasama dengan PKR, DAP, Amanah, kata Tajuddin



KUALA LUMPUR: Pengarah Pilihan Raya UMNO Tajuddin Abdul Rahman tidak menolak parti itu bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk bekerjasama dengan PKR, DAP dan Amanah.

Katanya, dalam politik kerjasama dengan mana-mana pihak bukan suatu yang mustahil.

“Apa sahaja boleh berlaku dalam politik,” katanya ketika diminta mengulas laporan sebuah blog yang mendakwa akan wujud satu gabungan antara BN, PKR, DAP dan Amanah.

Beliau turut menyindir Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa kerana sering “mengulang-ulang” keperluan UMNO menolak sebarang kerjasama dengan Anwar Ibrahim dan DAP.


Tajuddin berkata, sentimen akar umbi UMNO menolak kerjasama dengan PPBM berasas, memandangkan cubaan berterusan parti itu untuk memancing ahli UMNO, walaupun menjadi sekutu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Banyak yang berlaku apabila PPBM dilihat cuba untuk mengembangkan sayapnya hingga ke peringkat akar umbi. Ahli UMNO dipujuk untuk tinggalkan UMNO. PPBM nak tubuh cawangan seluruh pelusuk kampung dan yang diambil jadi ahli adalah orang UMNO.

“(Mereka berbuat demikian) kerana mereka ada kuasa, kedudukan dan duit. Jadi kami lihat PPBM akan kembangkan partinya menjadi besar sehinggakan UMNO menjadi parti kecil malah sekarang dalam Kabinet pun, UMNO hanya mendapat jawatan-jawatan kecil,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Tajuddin berkata, PAS seharusnya mengutamakan kerjasama dengan UMNO selepas ia terbukti berjaya dalam beberapa pilihan raya kecil ketika kedua-dua parti itu dalam blok pembangkang.


“Kami berharap PAS untuk terus setia bersama-sama dengan kami,”katanya.

Katanya, UMNO sebelum ini menyokong kerajaan PN yang dipimpin oleh PPBM tahun lalu kerana mahukan kestabilan politik.

“Kami sangka sumbangan UMNO akan diiktiraf, tetapi sayangnya (ini tidak berlaku),” katanya.

Ketika ditanya adakah semua 39 Ahli Parlimen UMNO akan menyokong sebarang keputusan untuk keluar dari kerajaan sekarang, kata Tajuddin hanya dengan seorang atau dua Ahli Parlimen yang diperlukan untuk melemahkan kerajaan PN dan sekaligus menumbangkan kerajaan itu.

“Tak perlu 39 (MP UMNO) keluar, satu dua keluar kerajaan sudah tak stabil,”katanya. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram