Join PN lepas tu terikat, timbullah kesulitan, dah janji kenalah tunai, Tajuddin ingatkan Pas



Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman hari ini 'memberi peringatan' kepada PAS yang menjadi parti rakan mereka mengenai perlunya menghormati janji dan tidak memungkirinya.

Kenyataan itu juga dilihat membuktikan bahawa PAS - di sebalik persefahaman dimeterai dalam Muafakat Nasional - membuat keputusan sendiri untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

“Saya nak ingatkan kepada pemimpin PAS apa hukum berjanji. Janji mesti ditunaikan.

"Mereka sertai PN bersama PPBM (Bersatu) itu tanpa persetujuan kita,” katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today hari ini.


Tajuddin ditemui media selepas dia merasmikan mesyuarat tahunan Umno Pasir Salak dan sayap parti itu di Pasir Salak hari ini.

Umno dan PAS memeterai piagam bersama untuk membentuk Muafakat Nasional ketika kedua-dua parti terbabit masih berstatus pembangkang.

Selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan melalui Langkah Sheraton, Bersatu membentuk kerajaan baru melalui kerjasama dengan beberapa parti lain termasuk Umno dan BN.

Ia kemudian menyaksikan munculnya PN yang disertai PAS sebagai salah satu parti komponen manakala Umno dan BN kekal berada di luar gabungan tersebut.

Ia menimbulkan rasa kurang senang beberapa pemimpin Umno yang menyatakannya sama ada secara terbuka atau berkias.


Pada 30 Dis lalu Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah dilaporkan berkata tiada mana-mana parti mampu menghadapi PRU akan datang secara bersendirian.

Oleh itu kata timbalan menteri besar Kelantan itu, BN dan PN perlu bekerjasama untuk mencapai kemenangan.

Kenyataan itu dijangka menimbulkan masalah kerana sebahagian besar pemimpin Umno mahu parti itu kekal bertanding di kerusi tradisi mereka.

Ia termasuk kerusi yang memang dimenangi Bersatu pada PRU lalu atau dimenangi Umno pada asalnya namun wakil rakyat terbabit melompat ke Bersatu kemudian. 

Kata Tajuddin selepas menyertai PN PAS sendiri berdepan kesukaran


“Sekarang mereka sudah terikat dalam keadaan begitu rupa dan menimbulkan kesulitan," kayanya.

Justeru ahli parlimen Pasir Salak itu meminta PAS menyelesaikan segera segala kesulian yang berlaku ekoran penyertaan mereka dalam PN ketika Umno kekal dengan kesetiaan pada janji yang diikrarkan sebelum ini.

Walaupun tidak diperincikan dengan lebih lanjut, dipercayai kesulitan yang dimaksudkan Tajuddin itu ialah berkaitan isu pembahagian kerusi untuk menyertai pilihan raya umum yang dijangka boleh dijalankan tidak lama lagi.

“Janji ikrar pada masa itu (sebelum Muafakat Nasional) kita berdua (Umno dan PAS) akan membentuk satu kerjasama politik bagi menghadapi musuh politik, termasuk Bersatu pada masa itu, sebelum terbentuknya PN,” katanya. – Mkini
Join our Telegram Channel
Telegram