Syed Ali kembali kepada UMNO selepas lompat ke Amanah



KUALA LUMPUR – Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yang keluar UMNO pada 2018 mengesahkan beliau telah menyertai semula parti itu.

Beliau memberitahu ketika ini sedang menunggu surat rasmi permohonannya kembali ke UMNO diterima daripada Ibu Pejabat parti.

Syed Ali turut mengakui perasaan sayang masih kuat terhadap UMNO apatah lagi memimpin UMNO Bahagian Cheras selama 20 tahun.

“Sebenarnya saya difahamkan (permohonan masuk) telah diterima kembali menjadi ahli UMNO tapi saya tidak dapat surat lagi. Saya hanya tunggu dan tiada masalah. Saya hanya keluar kerana memperjuangkan tanah UMNO dan saya sudah dapat tanah itu, jadi saya masuk balik.


“Tanah Pusat Rekreasi Jalan Peel milik UMNO Cheras terdapat pejabat UMNO dan kemudahan lain. Saya mohon balik bila dapat tanah itu. Ramai yang datang jumpa saya, tiada masalah. Saya orang parti. Surat mohon masuk kembali diuruskan kakitangan saya.

“Saya difahamkan telah dilulus tetapi belum dapat surat. Ibu Pejabat sudah lulus dan kena periksa dengan mereka. Saya malas hendak periksa, kita hendak berkhidmat sahaja. Jawtan ketua bahagian , timbalan saya masih memangku. Timbalan saya hendak saya balik dan kami sudah berjumpa tapi biarlah Ibu Pejabat UMNO uruskan dulu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Pada September 2018, Syed Ali mengumumkan keluar UMNO demi menjaga survival orang Melayu di Wilayah Persekutuan selepas 22 tahun menyertai parti itu.

Tiga bulan kemudian, beliau menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) namun jodoh dengan parti itu hanya bertahan setahun lebih.

Syed Ali berkata, beliau menyedari pelbagai andaian telah dibuat ke atas apabila keluar pada UMNO pada 2018.


Namun jelas beliau, orang ramai tidak tahu faktor utama yang menyebabkan dirinya mengambil keputusan drastik itu.

“Biasalah manusia ini buat pelbagai andaian. Saya keluar (UMNO) orang tidak tahu, saya masuk balik pun orang tidak tahu. Kalau tidak tahu jangan bercakap dan datang jumpa saya. Saya boleh cerita,” katanya.

Ditanya antara punca lain keluar UMNO kerana parti itu lemah ketika itu, Syed Ali menafikan dakwaan itu.

Tegas beliau, pengunduran daripada UMNO dibuat penuh tertib dan beretika dengan bermesyuarat dengan semua pemimpin Bahagian UMNO Cheras terlebih dahulu.

“Kalau saya rasa UMNO lemah, saya perhambat semua orang keluar. U tanya orang saya, mereka hendak ikut, saya kata no. Saya tidak benarkan seorang pun ikut saya. Tanyalah di Cheras. Saya kuat, kawal 20 tahun tak kan tidak boleh tarik orang. Saya bukan orang macam tu.


“Keluar UMNO, lepas tiga bulan saya masuk Amanah dan keluar Amanah bila dapat tanah. Saya keluar UMNO hanya bertujuan sahaja. Tidak mahu tanah 20 tahun hilang ketika saya menjadi ketua bahagian.

“Orang kata saya lari, buat apa lari tak untung pun, saya dari dulu orang UMNO. Contoh 20 tahun saya kerja untuk tanah itu, naik turun pejabat jumpa menteri saya tak dapat, sampai kerajaan jatuh, kerajaan baru naik. Tak kan saya nak kena terajang lagi mana saya punya maruah. Saya korban untuk UMNO. Saya pegang ketua bahagian dan saya tak takut sebab tidak tipu orang,” katanya.

Mengulas sama Amanah ada menawarkan jawatan sebelum menyertai parti pimpinan Mohamad Sabu itu, Syed Ali berkata, beliau langsung tidak aktif dan berterus-terang hanya masuk Amanah dengan bertujuan.

“Jodoh setahun lebih sahaja dengan Amanah. Saya tidak pernah aktif dan hanya niat nak dapat tanah tu.

“Mereka tidak tawar jawatan malah saya pun tidak mahu. (Datuk Seri) Mujahid ada tanya juga berminat ke, macam mana hendak minat dengan Amanah kerana masuk dengan bertujuan. Saya sayang dengan tanah UMNO, mana maruah dan perjuangan saya.  Orang kata saya tudak setia. Saya setia tapi perlu ada pengorbanan,” katanya. – MG




ARTIKEL BERKAITAN:



Join our Telegram Channel
Telegram