Peruntukan dewan kawasan Muhyiddin RM35.4 juta lebih elok diguna untuk Covid-19



Exco Pemuda Umno Mustafa Shah Abdul Hamid berkata, peruntukan RM35.4 juta bagi membina tiga dewan di kawasan parlimen Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin di Pagoh sewajarnya diutamakan bagi hal Covid-19.

Jelasnya, peruntukan sebesar itu juga seeloknya disalurkan kepada rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

"Saya berasa kecewa dengan isu pembinaan dewan di Parlimen Pagoh bernilai RM35 juta dalam keadaan rakyat dihimpit dengan kesukaran akibat pandemik Covid-19.

“Alangkah cantiknya jika peruntukan yang besar itu disalurkan kepada tujuan yang sepatutnya diberi keutamaan ketika ini. Seperti meningkatkan fasiliti ataupun kelengkapan hospital bagi menghadapi gelombang Covid-19.


“Ataupun peruntukan itu disalurkan kepada rakyat yang ketika ini berdepan situasi sukar akibat Covid-19.

"Kerajaan sepatutnya meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dan bukannya memenuhi keperluan politiknya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini. .

Tambahnya, Muhyiddin sebagai perdana menteri juga harus memberi keutamaan kepada seluruh rakyat dan bukan hanya menjaga kelompok tertentu sahaja.

Mustafa berkata demikian susulan kenyataan dari pejabat perdana menteri, bahawa dana RM35.43 juta berkenaan adalah untuk pembinaan tiga buah dewan orang ramai iaitu Dewan Gersik, Tangkak (RM13 juta), Dewan Masyarakat Bukit Pasir, Muar (RM16.66 juta) dan Pusat Komuniti Bukit Kepong, Muar (RM5.77 juta).

Isu peruntukan bagi membina dewan di kawasan parlimen Muhyiddin turut disuarakan oleh Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, Anggota Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub.


Sementara itu, Mustafa yang meluahkan rasa kecewa berhubung peruntukan terbabit turut mempersoalkan kepentingan yang diterima rakyat ekoran pembinaan dewan itu.

Ketika kerajaan menggantung Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana ingin memberi tumpuan menangani Covid-19 menerusi pengisytiharaan darurat, Mustafa turut mempersolkan penerusan pembinaan dewan itu.

“Apakah kepentingannya kepada rakyat secara keseluruhannya dengan pembinaan dewan berkenaan. Apakah ia mampu untuk menurunkan kadar jangkitan Covid-19?

“Rakyat ketika ini berada dalam situasi sukar, apatah lagi dengan keengganan kerajaan mengarahkan supaya instituasi kewangan memberikan lanjutan moratorium serta pelbagai syarat dikenakan bagi pengeluaran KWSP akaun satu.

“Kerajaan sepatutnya memberi keutamaan kepada permasalahan rakyat dan bukannya sibuk membina dewan dengan peruntukan yang begitu besar,” katanya lagi. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram