PETALING JAYA – Usahawan kosmetik sensasi, Nur Sajat seperti memberi bayangan
ingin meninggalkan agama Islam selepas mendakwa kerja-kerja amal kebajikannya
tidak dipersetujui segelintir pihak.
Bukan itu sahaja, Sajat atau nama sebenarnya, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman
mendedahkan, dia sudah menjalani pembedahan penukaran jantina.
“Adakah aku seorang kafir? Seorang yang tidak layak memeluk Islam dan berbuat
baik dalama agamaku.
“Bila terjadi macam ini, aku rasa, aku makin jauh untuk mendekatkan diri
dengan Allah. Ujian berat dan tindakan tidak wajar pada diri aku kerana aku
bersedekah dengan memakai pakaian wanita.
“Ini semua haram. Kau itu tak layak beragama Islam. Sebab itu kad pengenalan
lelaki walaupun kau tiada nafsu pada wanita. Semua kata kau ini lelaki dalam
kad pengenalan.
“Walaupun kau sudah menjalani pembedahan penukaran jantina. Ini semua kau buat
wakaf tetap haram sebab kau berpakaian wanita,” tulis Sajat melalui
InstaStorynya.
Terdahulu, Nama Sajat kembali menjadi bahan bualan netizen selepas dia
mendakwa, dirinya ditahan reman oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
kerana mengadakan majlis doa selamat dan bacaan yassin di pejabatnya di Shah
Alam.
Menurut Sajat, 36, dia ditahan pada tanggal 6 Januari lalu di Pusat Tahanan
Sementara (PTS) di Kuala Kubu Bharu dan dia telah dilayan tidak wajar walaupun
datang bertujuan memberi keterangan dan kerjasama pada pihak JAIS.
“Saya digari, dikasari dengan kata-kata dan tindakan, dicederakan sebegitu
rupa. Tangan dan badan saya bengkak kerana pergelutan saya ketika saya
mempertahankan diri.
“Saya berhak diberi hak asasi kemanusiaan untuk hidup seperti manusia lain
juga. Saya amat sedih dan kecewa dengan kejadian ini kerana kesan daripada
kejadian mengganggu perniagaan saya dan mental,” katanya.
Difahamkan, Sajat ditahan selepas mengadakan majlis doa selamat untuk
anak-anak tahfiz pada tarikh 23 Februari 2018 sebelum segelintir pihak
mengambil tindakan membuat laporan kepada JAIS yang tidak bersetuju dirinya
berpakaian seperti seorang wanita yang dilihat seperti mempermainkan agama –
Kosmo
Join our Telegram Channel