Melaka kini mempunyai empat daerah



MASJID TANAH: Status Masjid Tanah sebagai daerah keempat di Melaka selepas Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin, bermula hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata pemisahan Masjid Tanah daripada daerah Alor Gajah bagi membolehkan penyaluran peruntukan pembangunan infrastruktur, ekonomi dan sosial yang lebih tinggi.

Katanya, kerajaan negeri berpendapat usaha mewujudkan daerah baharu itu penting berdasarkan keluasan Parlimen Masjid Tanah dan lima Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalamnya.


"Dalam Parlimen Masjid Tanah ada DUN Lendu yang saya sendiri wakili, Tanjung Bidara, Kuala Linggi, Ayer Limau dan Taboh Naning. Masjid Tanah perlu dijadikan daerah baharu bagi meningkatkan pembangunannya.

"Apabila ia sudah dijadikan daerah sendiri, lebih banyak peruntukan mampu disalurkan oleh kerajaan pusat dan negeri dan ia mampu menjamin kelangsungan pembangunan," katanya selepas merasmikan Sukan Rakyat di Kampung Solok Air Budi, Durian Daun, di sini hari ini.

Sulaiman berkata, Masjid Tanah juga menempatkan 12 institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang menyediakan peluang untuk pelajar mengembangkan potensi dalam pengajian akademik dan kemahiran.

Selain itu, katanya, pantai peranginan di barat Melaka sepanjang 20 kilometer dari Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi dalam daerah Masjid Tanah, juga berfungsi sebagai pemangkin pembangunan di daerah ini.


Setakat ini, Pejabat Daerah Masjid Tanah yang beroperasi di Bangunan Lembaga Tabung Haji (TH) di pekan Masjid Tanah masih dalam peringkat permulaan dengan hanya menempatkan beberapa pegawai dan kakitangan.

"Pegawai Daerah Alor Gajah, Rahizi Ranom masih berkuasa ke atas pentadbiran daerah Masjid Tanah sementara kita mengenal pasti pegawai daerah yang baharu," katanya.

Katanya, usaha memindahkan dokumen pentadbiran dipergiat bagi membolehkan pentadbiran daerah dilaksanakan dengan sempurna. – Bharian

 

Join our Telegram Channel
Telegram