Mas Ermieyati mahu pertahan kerusi Parlimen Masjid Tanah



PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menegaskan, beliau komited sebagai wakil rakyat kawasan itu dan berpendirian untuk mempertahankan kerusi berkenaan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Masjid Tanah yang juga bekas Ketua Puteri UMNO itu memenangi kerusi berkenaan atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 lalu.

Katanya, walau apapun alasan, beliau secara peribadi berpendirian untuk terus mempertahankan kerusi Parlimen terbabit.


Ditanya sama ada pendiriannya itu dimaklumkan kepada pucuk pimpinan parti, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu, berkata beliau masih menunggu maklum balas pimpinan dan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya akan maklumkan sekiranya sudah mendapat jawapan daripada pucuk pimpinan dan presiden parti," katanya.

Mas Ermieyati berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat 2021 Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tunku Jaafar, di sini hari ini.

Kelmarin, media melaporkan UMNO Bahagian Masjid Tanah bertegas meletakkan calon bertanding di kerusi Parlimen Masjid Tanah pada PRU-15 kerana ia adalah kerusi tradisi parti itu.


Semalam, Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata bagi PRU-15, parti berkenaan mahu bertanding semula semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenanginya pada PRU-14.

Mas Ermieyati menyertai BERSATU pada 13 Disember 2018 selepas keluar UMNO pada 1 Julai, kira-kira empat bulan selepas Barisan Nasional (BN) tumbang kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14.

BERSATU kemudian keluar daripada PH pada Februari lalu, tetapi kekal menerajui Putrajaya melalui gabungan baharu, Perikatan Nasional (PN) yang disertai PAS dan disokong Ahli Parlimen UMNO serta BN. – Bharian


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram