Malaysia pegang rekod paling teruk perangi Covid-19 di ASEAN, kata Najib



PETALING JAYA: Malaysia kini mempunyai rekod paling buruk di rantau Asia Tenggara dalam memerangi wabak Covid-19, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

“Jika dilihat daripada segi penularan tempatan dan bilangan kes berbanding saiz penduduk, Malaysia mempunyai rekod Covid-19 paling teruk antara semua negara ASEAN setelah kita melepasi Filipina pada minggu lepas,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Malaysia tidak lagi berada dalam senarai negara yang paling berjaya mengawal Covid-19.


Najib berkata, Malaysia terlepas peluang membendung gelombang ketiga Covid-19 pada awal Okt lalu apabila kerajaan tidak menyekat perjalanan merentas negeri.

Membandingkan situasi pandemik di Singapura, Najib berkata tindakan tegas dan awal republik itu mengurangkan penularan dalam komuniti meskipun statistik jangkitan tinggi berbanding saiz penduduknya.

Katanya, ketika penularan berlaku dalam kalangan pekerja asing dalam sektor pembinaan dan pembuatan, negara itu bertindak pantas dengan mengasingkan golongan pekerja yang tidak dibenarkan keluar dari asrama selagi tidak disahkan bebas Covid-19.

“Sebilangan pekerja asing juga diasingkan dan dipindahkan oleh kerajaan Singapura ke kapal-kapal dan kem khidmat negara supaya asrama tidak begitu sesak.


“Lalu satu persatu, asrama pekerja asing dibuka semula apabila penularan Covid-19 terhenti selepas dua hingga tiga bulan dikurung. Akhirnya semua asrama pekerja asing disahkan bebas Covid-19 pada Ogos dan kegiatan industri di Singapura bersambung,” kata Najib.

Najib berkata, Malaysia perlu belajar daripada kesilapan dan akur bahawa tindakan lebih tegas pada peringkat awal berupaya mencegah mudarat lebih teruk dan berpanjangan.

Terkini, Kementerian Kesihatan mengesahkan 3,631 kes jangkitan baru dengan 14 kematian Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram