Joki disko Palestin ditahan anjur pesta di makam Nabi Musa



RAMALLAH, Wilayah Palestin – Seorang joki disko Palestin yang ditangkap selepas menganjurkan majlis tarian di sebuah tapak yang dianggap suci oleh orang Islam pada minggu lalu telah dibebaskan dengan ikat jamin, kata bapanya hari ini.

Polis Pihak Berkuasa Palestin memberkas Sama Abdulhadi, 30, pada 27 Disember lalu selepas dia mengadakan persembahan di Nebi Mussa yang dipercayai makam Nabi Musa dekat bandar Jericho.

Pada awalnya, dia tidak dibenarkan ikat jamin tetapi kumpulan-kumpulan hak asasi manusia Palestin menuntut Sama dibebaskan dalam satu petisyen yang mengandungi 100,00 tanda tangan.


Bapanya, Saad Abdulhadi memberitahu agensi berita AFP bahawa Sama dibebaskan petang semalam selepas bayaran AS$3,500 (RM14,022) dibuat dan jaminan bahawa dia akan hadir dalam perbicaraan di mahkamah yang akan diumumkan kelak.

Sementara itu, Sama dilarang daripada melakukan perjalanan.

Sama Abdulhadi m dianggap sebagai wanita Palestin pertama yang menjadi joki disko profesional manakala akhbar Israel, Haaretz menggelarnya ‘Ratu Tekno Palestin’.


Video acara muzik elektronik itu disiarkan di media sosial dan menunjukkan lelaki serta wanita menari bersama-sama sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai dan mengundang dakwaan mencemarkan tempat suci itu yang turut menempatkan sebuah masjid.

Sementara itu, sebuah suruhanjaya penyiasatan ditubuhkan atas permintaan Perdana Menteri Mohammed Shtayyeh bagi ‘memastikan apa yang berlaku di Nebi Mussa.’

Saad Abdulhadi berkata, anak perempuannya mempunyai kebenaran rasmi untuk mengadakan acara itu di Nebi Mussa yang juga merupakan kawasan pelancongan. – AFP












Join our Telegram Channel
Telegram