Najib: Jika terus kekal dalam PN, UMNO akan berakhir



PETALING JAYA: Bekas presiden UMNO, Najib Razak, mengingatkan ahli dan pemimpin parti itu supaya tidak menjadikan kedudukan dalam kerajaan ketika ini sebagai suatu kebiasaan kerana ia akan “membunuh” UMNO secara perlahan-lahan.

Najib berkata, UMNO bukanlah sebuah parti yang hanya memainkan peranan mendukung dan menyokong kerajaan, sebaliknya UMNO yang wujud sejak 1946 adalah parti peneraju dalam pentadbiran persekutuan.

“Kita harus insaf, sejak penubuhan UMNO, kita merupakan parti peneraju. Jika kita ambil apa yang berlaku sepanjang sembilan bulan ini dan menerimanya sebagai kebiasaan atau realiti baru, maka kita sebenarnya membunuh UMNO secara perlahan-lahan.

“Jika UMNO berterusan seperti hari ini, iaitu hanya jadi salah satu komponen parti pemerintah, yang walaupun memainkan peranan besar mendukung kerajaan yang ada, tetapi dilayan sebagai anak tiri, maka tunggulah pengakhiran UMNO,” katanya ketika merasmikan mesyuarat UMNO Pekan.


Tambahnya, sejak era Perikatan dan Barisan Nasional (BN), UMNO merupakan parti induk dan menjadi peneraju dalam agenda serta hala tuju dalam pentadbiran kerajaan persekutuan.

Katanya, ia tidak sama seperti hari ini yang menyaksikan parti itu memainkan peranan yang tidak setara dengan sumbangannya.

“Kita merupakan parti induk sejak dahulu dalam kerajaan. Ia bukan seperti hari ini, yang menjadi pengikut.

“Asalkan ada jawatan menteri sudah gembira walaupun kualiti portfolio tidak sepadan dengan sumbangan UMNO kepada kekalnya kerajaan yang ada.


“Kita harus keluar, jika terus kekal maka UMNO akan berakhir sebagai parti politik yang berpengaruh.

“Kita bukan sahaja perlukan mentaliti kemenangan, tetapi perlu terjemahkan mentaliti kemenangan itu kepada strategi kemenangan di semua peringkat,” katanya.

Najib berkata, model kerajaan Perikatan Nasional (PN), yang merupakan sebuah kerajaan gabungan antara parti politik, tidak akan mendatangkan kebaikan kepada negara dalam tempoh jangka panjang.

“Hari ini kita tidak menjadi penentu kepada dasar negara, jawatan berkaitan ekonomi dan kewangan tidak dipegang menteri UMNO. Kejayaan kerajaan menjadi kredit kepada orang lain, bukan kepada kita,” katanya. – FMT 
Join our Telegram Channel
Telegram