Lepas Tok Pa, Rina Harun pula positif Covid-19



Semua menteri yang hadir mesyuarat kabinet Rabu lalu diberitahu untuk menjalani ujian Covid-19, setelah Menteri di JPM (Ekonomi) Mustapa Mohamed positif virus itu dua hari lalu.

Menurut sumber di Putrajaya, sekitar 10 anggota kabinet turut diperintahkan untuk menjalani pengasingan, setelah dikenal pasti sebagai kontak rapat Mustapa.

Ini menyebabkan banyak program yang dijadualkan untuk para menteri dibatalkan pada saat-saat akhir, kerana mereka perlu bergegas untuk melakukan ujian swab.


Beberapa ahli kabinet melakukan ujian saringan semalam setelah mengetahui keputusan ujian Mustapa.

Beberapa yang lain telah melakukan ujian mereka pagi ini atau akan melakukannya hari ini. Ini termasuk Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob; Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Khairy Jamaluddin; dan Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad.

Untuk rekod, Mustapa menerima keputusan ujiannya pada Sabtu malam, dan sejak itu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu, Kelantan untuk mendapatkan rawatan.

Berita mengenai hasil ujiannya hanya dilaporkan petang semalam, setelah pejabatnya mengeluarkan siaran akhbar memaklumkan keputusan ujian Covid-19 ahli parlimen Jeli itu.


Beberapa menteri yang melakukan ujian mereka setelah Mustapa sudah mendapat keputusannya semalam. Difahamkan, ada anggota kabinet didapati positif.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini memaklumkan status ujian virus Covid-19 membabitkan menterinya Rina Harun.

"Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah disahkan positif Covid-19 setelah mendapat keputusan ujian saringan malam tadi," maklum kenyataan pejabat kementerian itu. – Mkini






Join our Telegram Channel
Telegram