Helikopter terhempas, dua selamat



PELABUHAN KLANG: Sebuah helikopter persendirian terhempas dalam kawasan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di sini sebentar tadi.

Helikopter ringan dua tempat duduk itu dipercayai terhempas ketika cuba melakukan pendaratan cemas di sebuah kawasan lapang di Jalan PKFZ, Pulau Indah.


Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, Norazam Khamis, berkata kejadian itu menyebabkan juruterbang dan pembantu juruterbang helikopter terbabit cedera.

Beliau berkata, juruterbang, Khairudin Dahlan, 73, cedera di tangan kiri dan pembantu juruterbang, Moithu Kutti Mohamad, 53, mengalami luka-luka kecil.

Katanya, kedua-dua mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut selepas diberikan rawatan oleh pihak Ambulans Pelabuhan Barat.


"Pihak kami menerima panggilan pada jam 10 pagi tadi memaklumkan sebuah helikopter persendirian jenis Robinson R66 Turbine mendarat cemas dan terhempas di kawasan lapang di situ.

"Pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang diketuai Komander Operasi Kanan, Anas Ahmad Zabidi tiba di lokasi jam 10.22 pagi.

"Ketika anggota kami tiba di kawasan kejadian, kedua-dua mangsa dibawa keluar oleh orang awam dan sedang menerima rawatan oleh anggota perubatan Pelabuhan Barat," katanya. – Bharian 









Join our Telegram Channel
Telegram