DAP mahu Adun Malim Nawar jelaskan dakwaan bakal sertai MCA



DAP mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Adun Malim Nawar, Leong Cheok Keng berhubung laporan dakwaan akan berpaling tadah kepada parti lawan MCA, kata Chong Chieng Jen.

Chong, yang merupakan ketua jawatankuasa disiplin DAP berkata parti itu mahu Leong menjelaskan laporan mengenai beliau memohon untuk menyertai MCA.

“Di bawah perlembagaan parti, keahlian DAP terbatal sekiranya menjadi anggota parti politik lain.

“Sebarang tindakan untuk memohon keahlian parti lain dianggap sebagai tindakan khianat kepada parti,” katanya.


Beliau menambah jawatankuasa tatatertib diberi kuasa untuk bertindak terhadap mana-mana ahli yang tindakannya memudaratkan kepentingan parti.

“Jawatankuasa menunggu respons daripada Leong dan akan bertindak sewajarnya,” kata Chong.

Akhbar harian berbahaga Cina, China Press semalam melaporkan spekulasi kira-kira 20 wakil rakyat DAP bakal meninggalkan parti itu.

Laporan itu menambah, Leong akan mengetuai pembelotan dengan menyertai MCA, diikuti yang lain.


Leong dengan lantang mengkritik kepemimpinan partinya, terutama kepimpinan Ketua DAP Perak, Nga Kor Ming.

Bulan lalu beliau mempersoalkan kesediaan Nga untuk menjalin hubungan dengan Umno bagi membentuk kerajaan negeri baharu di Perak.

Beliau berkata Nga tidak lagi layak menjadi pemimpin DAP Perak kerana “kesilapan politiknya” berhubung Umno.

Umno bagaimanapun berjaya membentuk kerajaan negeri baharu dengan sokongan PAS dan Bersatu. – TMI

 

Join our Telegram Channel
Telegram