COVID-19: Hospital Melaka penuh, pesakit dihantar ke MAEPS



AYER KEROH 9 – Bermula hari ini (9 Januari), semua pesakit COVID-19 di Melaka akan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, perkara itu terpaksa dilakukan susulan Hospital Melaka tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit yang ramai.


Jelasnya, untuk hari ini sahaja, seramai 12 pesakit sudah di hantar ke PKRC MAEPS dan jumlah itu akan meningkat sekiranya berlaku lagi pertambahan kes di negeri ini.

“Untuk hari ini kita sudah menghantar 12 pesakit ke PKRC MAEPS yang terdiri daripada lapan lelaki dan empat wanita.

“Hal ini kerana kapasiti Hospital Melaka mulai semalam sudah penuh dan tidak mampu lagi menampung jumlah pesakit COVID-19.


“Situasi ini akan berlanjutan sekiranya kita menerima lebih banyak kes positif baharu,” katanya kepada Melaka Hari Ini malam ini.

Mengulas lanjut Rahmad berkata, perkara itu diputuskan melalui mesyuarat jawatankuasa penyelaras PKRC negeri yang diadakan semalam di antara Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Majlis Keselamatan Negeri Melaka dan Jabatan Pertahanan Awam.

Ujarnya, pesakit COVID-19 yang dihantar ke PKRC MAEPS hanya melibatkan orang awam yang mana pihaknya menyasarkan seramai 90 pesakit akan dihantar sekiranya berlaku pertambahan kes dari semasa ke semasa. – MHI

 

Join our Telegram Channel
Telegram