Bayaran BPN 2.0 akan dikreditkan dalam masa seminggu – Tengku Zafrul



KUALA LUMPUR: Bayaran Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) fasa kedua yang melibatkan keseluruhan nilai RM2.38 bilion akan dikreditkan ke dalam akaun penerima dalam tempoh seminggu.

Sehubungan itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meminta penerima bantuan berkenaan supaya tidak keliru mengenai bayaran yang disalurkan bermula 21 Januari lalu.

"Saya ingin memohon agar penerima bersabar, kerana ini adalah satu jumlah yang besar dan memerlukan sekurang-kurangnya seminggu untuk pengkreditan sepenuhnya kepada semua penerima," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut Tengku Zafrul, dari 21 hingga 24 Januari lalu, sebanyak 6.4 juta akaun sudah dikreditkan sementara dari 25 hingga 29 Januari ini pula, 3.8 juta akaun sedang atau akan dikreditkan.


Selain itu, katanya, mulai 25 Januari lalu, kira-kira 750,000 penerima yang tiada akaun bank sudah mula membuat tuntutan tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di Semenanjung Malaysia bagi penerima B40 dan M40.

"Kerajaan berharap bantuan yang dipercepatkan ini sedikit sebanyak dapat membantu aliran tunai 11.06 juta penerima bujang dan isi rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," ujarnya lagi.

Sementara itu, menyentuh mengenai keluhan bahawa Program Subsidi Upah (PSU) 3.0 yang ditambah baik melalui Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) tidak mencukupi, Tengku Zafrul menjelaskan, kemudahan itu perlu dilihat bersama bantuan lain dan tidak patut dilihat secara bersendirian.

Menurutnya, peruntukan terkini bagi PSU pada 2021 ialah RM3 bilion dan dengan perluasan skop untuk semua syarikat terjejas PKP, PSU 3.0 akan menerima penambahan peruntukan RM500 juta lagi, menjadikan jumlahnya RM1.5 bilion di bawah PERMAI.

"Ini adalah penambahan kepada RM1.5 bilion yang diumumkan semasa Belanjawan 2021. Ini juga bermakna bahawa program PSU yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi 2020 dan 2021 secara keseluruhannya bernilai RM20.7 bilion," katanya.


Beliau memaklumkan, selain RM3 bilion di bawah PSU 2021, kerajaan juga memperuntukkan RM3.7 bilion lagi di bawah program penjanaan pekerjaan di bawah Belanjawan 2021 yang baru dimulakan.

Katanya, ini turut merangkumi program insentif pengambilan pekerja bagi majikan dan perniagaan.

"Saya juga ingin mengingatkan bahawa kadar sewa premis perniagaan MARA diturunkan 30 peratus.

"Sementara insentif cukai bagi mereka yang memberikan kemudahan sama dilanjutkan kepada semua penyewa perniagaan, berbanding hanya penyewa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebelum ini," tambahnya.

Bagi maklumat lanjut katanya, orang ramai boleh melayari http://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat/. – SuaraTV 
Join our Telegram Channel
Telegram