Anwar kata ada sokongan kuat, pergi baliklah! – Dr M



PETALING JAYA: Pengerusi penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Mahathir Mohamad, tidak mempercayai Anwar Ibrahim, selepas pengerusi Pakatan Harapan itu kelmarin mengumumkan sedia bekerjasama dengannya secara bersyarat menerusi cadangan pembentukan gagasan pembangkang perdana.

Mahathir nampaknya masih terasa dengan tindakan Anwar, yang katanya, “tolak saya bulat-bulat” ketika beliau dan kumpulan penyokongnya tawar kerjasama dengan PH.

“Dia yang tolak, bukannya saya. Saya tawarkan diri hendak jadi perdana menteri untuk enam bulan sahaja, tetap dia kata tidak boleh dan Shafie Apdal juga tidak boleh.”

Mahathir turut menarik perhatian kepada dakwaan Anwar memiliki sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu, namun sehingga kini masih belum ada apa-apa perubahan.


“Kemudian dia kata dia majoriti sokongan yang kuat, utuh dan menyakinkan. Pergi baliklah!” katanya.

Kelmarin, Anwar mengumumkan sedia bekerjasama dengan Mahathir dalam suatu gabungan besar, tetapi bekas perdana menteri itu “perlu patuh kepada prinsip, bukan bawa agenda peribadi, dan meneruskan kebobrokan yang lama.”

Perkembangan ini berlatarkan gesaan daripada DAP dan Amanah, yang dilihat masih mahu menjalin kerjasama dengan Mahathir, walaupun beliau dan Anwar berbalah.

Sejak kejatuhan kerajaan PH Februari lalu, penyokong Anwar dan Mahathir saling menuduh atas kegagalan mempertahankan Putrajaya selepas 22 bulan berkuasa.


Mahathir terus mengkritik Anwar di pelbagai forum, sebagai tidak sesuai untuk memimpin negara. Penyokong Anwar pula menyalahkan Mahathir sebagai tidak berpegang kepada janjinya.

“Kita hitung, Anwar pernah tunaikan janji ke?” kata Mahathir kepada pemberita hari ini.

“Berapa kali sudah kata hendak bentuk kerajaan persekutuan, sejak dari zaman Abdullah Ahmad Badawi. Semua mereka memakai tanda nama hendak pergi angkat sumpah tetapi tidak jadi akhirnya.

“Berkali-kali kata ada majoriti tetapi tidak jadi. Kalau hendak percaya lagi apa yang dia kata, itu masalah anda. Apa yang saya percaya adalah, saya tidak lagi boleh percaya apa-apa sahaja yang dia katakan lagi,” katanya. – FMT



Please subscribe
 

Join our Telegram Channel
Telegram