Zeti nafi terima dana 1MDB but no comment, ganggu perbicaraan Najib



PETALING JAYA: Bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz menafikan dakwaan ahli keluarga dan dirinya menerima dana daripada 1MDB.

“Dakwaan terhadap saya dan keluarga saya palsu serta berniat jahat sama sekali,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Baru-baru ini, blog MalaysiaToday, yang dikendalikan Raja Petra Kamaruddin mendakwa beberapa ahli keluarga Zeti, termasuk suami dan anaknya, menerima lebih RM100 juta daripada ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho, yang didakwa mendalangi skandal 1MDB.


Menurut catatan itu, ahli keluarga Zeti didakwa menandatangani satu akuan berkanun (SD), di mana mereka mengakui menerima berjuta dalam akaun bank Singapura, dengan wang itu datang daripada sebuah syarikat dikaitkan dengan Jho Low.

Zeti, yang kini mengetuai Permodalan Nasional Bhd (PNB), berkata isu berhubung sayap pelaburan negara itu sudah “disiasat secara menyeluruh dan teliti oleh pihak berkaitan, iaitu Bank Negara (BNM), polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)”.

Katanya, beliau turut memberi kerjasama penuh dan semua maklumat diperlukan kepada polis serta SPRM berhubung siasatan rasmi itu ke atas 1MDB dan bekas perdana menteri.

Bagaimanapun, Zeti tidak dapat memberi kenyataan lanjut kerana beliau ialah saksi berpotensi dalam perbicaraan jenayah Najib Razak.


“Oleh itu, pada pandangan saya, ia akan mengganggu perbicaraan yang masih berterusan dan berpotensi menjadi sub judice bagi saya untuk membuat sebarang kenyataan ketika ini.

“Saya ingin menegaskan keluarga saya dan saya tidak pernah menerima sebarang wang daripada 1MDB,” kata Zeti.

Peguam yang mengakusaksikan SD ditandatangani ahli keluarga Zeti tidak dapat mengesahkan kandungannya. – FMT





Join our Telegram Channel
Telegram