TERKINI: Hishamuddin umum letak jawatan bermula 1 Januari 2021



Kuala Terengganu: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim membuat keputusan mengejut apabila mengumumkan peletakan jawatan itu bermula 1 Januari 2021.

Keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Kuala Nerus itu sudah pasti menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat setia skuad Penyu kerana beliau baharu sahaja menyambung tugas itu tidak sampai sebulan ketika Kongres Tahunan PBSNT pada 3 Disember lalu.

Selain itu sepanjang berkhidmat dengan badan induk bola sepak negeri, beliau berjaya membantu pasukan itu muncul naib juara Piala Malaysia pada 2018, ketiga Liga Super musim ini serta layak beraksi pada pentas Piala AFC musim depan.

Bagaimanapun, Hishamuddin yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Kerajaan (NGO) negeri menegaskan penswastaan TFC meyakinkan beliau untuk berundur selepas memegang jawatan nombor dua PBSNT sejak Ogos 2018.


Katanya sudah tiba masanya untuk kembali berbakti 100 peratus dan memberi sepenuh perhatian kepada tugas hakikinya sebagai wakil rakyat bagi membuka peluang kepada individu yang lebih layak untuk memegang jawatan itu.

"Saat untuk saya berundur dirasakan sudah tiba bagi memberi fokus keutamaan terhadap tanggungjawab sebenar sebagai wakil rakyat dan pengunduran ini membuka peluang buat tokoh baharu yang lebih berkelayakan untuk mengambil alih nanti.

"Ada sebahagian orang menganggap jawatan dalam bola sepak ini satu peluang untuk membina 'mileage' politik, tapi bagi saya tidak sebegitu, malah ia adalah tanggungjawab besar yang memerlukan tumpuan dan pengorbanan.

"Melihat persiapan pasukan dan kesiapsiagaan menempuhi musim baharu, saya menaruh harapan dan kepercayaan terhadap TFC untuk memulakan langkah dengan lebih berfokus serta berkeyakinan.


"Dengan keadaan yang agak meyakinkan seperti ini, saya ingin maklumkan peletakan jawatan saya sebagai Timbalan Presiden PBSNT berkuat kuasa pada 1 Januari 2021. Peletakan jawatan ini juga sekali gus secara bersama sebagai Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd pada tarikh yang sama.

"Terima kasih kepada Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Presiden PBSNT yang sentiasa menyokong usaha saya dan tidak pernah mengabaikan keperluan pihak PBSNT sepanjang beliau memimpin, begitu juga kepada semua rakan-rakan pimpinan dalam PBSNT dan TFC, serta Wan Sukairi Wan Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan NGO negeri yang sentiasa memberikan sokongan," katanya di laman sosialnya semalam.

Sebelum ini pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berpandangan bola sepak negara tidak akan memiliki masa depan jika masih lagi dipimpin oleh ahli politik kerana segelintir mereka hanya mahukan publisiti untuk kepentingan peribadi.

Malah Tunku Ismail juga menegaskan kedudukan ahli politik dalam bola sepak hanyalah bersifat sementara dan kebanyakan mereka tidak memahami mengenai bola sepak kerana mereka memiliki tugas yang tersendiri. – Hmetro

 

Join our Telegram Channel
Telegram