Roboh kuil: Saravanan tuduh MB Kedah mungkir janji



ALOR SETAR: Selepas dua pemimpin partinya menyelar menteri besar Kedah, Timbalan Presiden MIC M Saravanan tampil menuduh Muhammad Sanusi Md Nor mungkir janji untuk tidak merobohkan kuil Hindu tanpa memaklumkan beliau dan seorang menteri lain.

Menteri Sumber Manusia itu berkata, Sanusi memberikan janji berkenaan kepada beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Halimah Mohamed Sadique dalam satu pertemuan Julai lalu.

“Jaminan itu diberikan bukan sahaja untuk kuil Hindu tetapi untuk semua rumah ibadat bukan Islam, kata beliau.

“Justeru saya amat terkejut untuk mengetahui Menteri Besar berkenaan memungkiri janji dan meneruskan perobohan kuil di negeri itu,” kata Saravanan dalam satu kenyataan.

Semalam, Sanusi membidas pimpinan MIC Kedah kerana membantah perobohan kuil Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah, berusia lebih 50 tahun.


Beliau menyarankan MIC diharam jika ia menghasut rakyat dan memberi amaran kepada parti komponen Barisan Nasional itu untuk “jangan celupar, jangan jadi hero berdasarkan populariti,”.

Saravanan berkata, Sanusi tidak menepati janjinya dan ia mungkin membawa padah kepada kerajaan.

“Ini (tindakan Sanusi) bercanggah dengan semangat kerajaan gabungan nasional dan sebarang kemerosotan sokongan untuk kerajaan yang sedia ada di masa hadapan akan dipertanggungjawabkan kepada … Menteri Besar Kedah,” kata beliau.

Saravanan berkata, Sanusi harus menjelaskan kenapa kuil itu dirobohkan tanpa proses konsultasi sebagaimana yang dijanjikan beliau.

Semalam, Sanusi menegaskan tempat ibadat, seperti kuil, hanya boleh dibina selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan.


Katanya, jika masjid boleh dibina berdasarkan undang-undang dan keputusan teliti dibuat majlis agama Islam negeri, dengan mengambil kira jumlah penganut di sekitarnya, penganut agama lain juga perlu mematuhi undang-undang dalam pembinaan tempat ibadat mereka.

“Mereka (MIC) tidak boleh bertindak menjadi pemimpin untuk mencari populariti. Kalau orang yang hidup dalam politik berdasarkan populariti, ikut saja apa kehendak orang ramai, melanggar undang-undang atau tidak, orang itu sebenarnya tak patut jadi pemimpin,” ujar beliau.

Hubungan antara PAS dan MIC Kedah menjadi tegang baru-baru ini selepas ketuanya di negeri itu, S Ananthan meminta BN “mengkaji semula” kerjasamanya dengan parti Islam itu.

Ia selepas Ananthan mendakwa tiada peruntukan untuk tempat ibadat bukan Islam dalam Belanjawan Kedah 2021 yang dibentangkan Sanusi baru-baru ini.

Kecaman Sanusi terhadap MIC dan perobohan kuil berkenaan sebelum in turut di kecam oleh Presiden MIC, S Vigneswaran dan naib presiden parti T Mohan. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram