Reman Da'i Syed dilanjut, 8 aduan jenayah seksual termasuk seks di luar tabii



KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima lapan laporan setakat ini membabitkan pendakwah selebriti yang didakwa melakukan jenayah seksual dan kini dalam tahanan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata bagaimanapun dua daripada laporan polis yang diterima itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).


“Empat laporan diterima di Shah Alam, sementara dua lagi di Petaling Jaya, manakala dua yang diklasifikasikan sebagai NFA ialah masing-masing satu di Shah Alam dan Subang Jaya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya Nik Ezanee Mohd Faisal mengesahkan menerima dua laporan berkaitan suspek.


“Laporan membabitkan kes rogol dan cabul serta seks luar tabii,” katanya dalam kenyataan.


Beliau berkata pihaknya akan membuat permohonan reman terhadap suspek esok bagi membantu siasatan berkaitan dua laporan polis berkenaan.

Suspek berusia 25 tahun itu ditahan pada 26 Nov lepas susulan laporan polis yang dibuat di IPD Shah Alam. Beliau dikenakan tahanan reman selama lima hari bermula 27 Nov lalu bagi membantu siasatan.

Perintah reman itu dilanjutkan lima hari lagi bermula 2 Dis hingga hari ini selepas seorang lagi mangsa membuat laporan polis di IPD berkenaan. – FMT 
Join our Telegram Channel
Telegram