PAS Perak mohon ampun kepada Sultan Perak



IPOH: PAS Perak memohon ampun kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah atas kekhilafan tidak menghadap selepas dititahkan pada 8 Dis lalu.

Pesuruhjaya PAS, Perak Razman Zakaria, berkata sehubungan itu PAS Perak akan mengutus surat memohon ampun dan maaf atas perkara tersebut.

“PAS Perak sentiasa menjunjung tinggi institusi Kesultanan Perak Darul Ridzuan dan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bagi terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah,” katanya pada sidang media di Pejabat PAS Perak.

Permohonan maaf secara terbuka ini disertai dua lagi ADUN PAS di Perak, yang diarah PAS Pusat supaya membatalkan pertemuan dengan Sultan Perak, ketika Istana Kinta sedang menguruskan hal menteri besar baharu dan pembentukan kerajaan negeri.


Razman berkata surat memohon maaf akan dihantar ke pejabat Sultan Perak di Istana Kinta petang ini.

Sebelum ini, PAS Pusat tanpa butiran lanjut mengarahkan Razman, Mohd Akmal Kamaruddin (Selama), dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah) membatalkan pertemuan mereka dengan Sultan Nazrin.

Ketika dihubungi pemberita, Razman memaklumkan mereka masih menunggu keputusan PAS Pusat mengenai sokongan kepada calon UMNO untuk jawatan menteri besar, Saarani Mohamad.

Hal ini hanya selesai keesokannya, selepas Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, selesai berurusan dengan pemimpin PPBM dan UMNO, dengan Setiausaha Agung, Takiyuddin Hassan mengumumkan ADUNnya akan menghadap selepas mendapat titah.


Sebelum itu, PAS mengumumkan ia tidak akan menyertai pembentukan kerajaan baharu di Perak susulan penyingkiran Timbalan Presiden PPBM, Ahmad Faizal Azumu.

Pada sidang media hari ini, Razman mengesahkan Hadi memohon menghadap Sultan Perak.

“Surat daripada presiden itu, ya betul,” katanya ringkas, tanpa menjawab di mana pertemuan akan berlangsung.

Beliau juga mengesahkan PAS sudah menyerahkan senarai calon untuk jawatan exco. – FMT




ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram