Moratorium: Najib bidas bank ambil kesempatan ketika rakyat dalam kesempitan



PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak membidas tindakan beberapa bank yang “mengambil kesempatan” berhubung isu moratorium yang diperjuangkan oleh Umno dalam Belanjawan 2021.

Beliau mendakwa ada bank yang memberi diskaun ansuran bulanan atau mengecualikan ansuran selama 3 bulan tetapi melanjutkan baki tempoh bayaran pinjaman antara 2 hingga 5 tahun lagi.

“Kerajaan PN pula janji dalam penggulungan Belanjawan 2021 bahawa kelulusan automatik bagi lanjutan moratorium pinjaman akan diberi tanpa syarat.


“Lalu dilaungkan pula bahawa janji Belanjawan 2021 bagi lanjutan moratorium pinjaman kononnya telah ditunaikan. Pelik tetapi (ia) memang berlaku,” katanya di Facebook hari ini.

Pada 26 Nov lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengingatkan bahawa moratorium ke atas pembayaran pinjaman bank diberi secara automatik kepada golongan B40 dan peniaga kecil, tetapi mereka perlu memohonnya.

Beliau berkata, moratorium juga tersedia untuk golongan M40 dan T20 yang boleh dimohon kepada bank masing-masing.

Dalam pada itu, Najib berkata, mungkin bank yang mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat untuk mengaut lebih banyak keuntungan itu “belajar” daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH).


Katanya, semasa kerajaan PH memerintah, gabungan parti itu berjanji untuk memansuhkan semua tol apabila menang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Tetapi akhirnya (kerajaan PH) memberi diskaun 18% dengan melanjutkan baki tempoh konsesi tol dari 18 tahun ke 38 tahun.

“Lalu dilaungkan (bekas) menteri kewangan (Lim Guan Eng) dengan seluruh barisan PH bahawa janji manifesto PH kononnya telah ditunaikan,” katanya. – FMT





Join our Telegram Channel
Telegram