MIC patut diharamkan jika hasut rakyat langgar undang-undang – MB Kedah



ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, MIC patut diharamkan jika ia menghasut rakyat melanggar undang-undang, susulan perobohan sebuah kuil Hindu di sini dan ketegangan antara parti itu dan kerajaan negeri pimpinan PAS.

Kelmarin, Majlis Bandaraya Alor Setar merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah, yang dikatakan berusia lebih 50 tahun. Minggu lalu, seorang pemimpin MIC mengadu tiada peruntukan dari negeri itu untuk kuil Hindu dalam belanjawan tahun depan.

“Adakah MIC ditubuhkan sebagai parti politik untuk menghasut orang ramai melanggar undang-undang? Kalau ya, ia patut diharamkan di negara ini.

“Saya ingin memberi peringatan kepada pemimpin-pemimpin MIC di Kedah atau di mana pun, jangan celupar, jangan jadi hero berdasarkan populariti,” kata Sanusi dalam sidang media di pejabatnya di sini, semalam.


Beliau berkata, tempat ibadat, seperti kuil, hanya boleh dibina selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan.

Katanya, jika masjid boleh dibina berdasarkan undang-undang dan keputusan teliti dibuat majlis agama Islam negeri, dengan mengambil kira jumlah penganut di sekitarnya, penganut agama lain juga perlu mematuhi undang-undang dalam pembinaan tempat ibadat mereka.

“Kenapa penganut agama lain, saya tak khususkan dekat siapa-siapa, dia boleh bina rumah ibadat di mana saja dia rasa nak bina? Kalau dibina di tanah lapang, dia melanggar undang-undang.

“Mereka (MIC) tidak boleh bertindak menjadi pemimpin untuk mencari populariti. Kalau orang yang hidup dalam politik berdasarkan populariti, ikut saja apa kehendak orang ramai, melanggar undang-undang atau tidak, orang itu sebenarnya tak patut jadi pemimpin.

“Pemimpin ialah orang yang boleh membimbing orang ramai,” kata Sanusi merujuk parti komponen Barisan Nasional itu.


“Saya ingin memberi nasihat kepada MIC bahawa kita terbabit dalam politik ini melalui sebuah parti. Parti kita ada perlembagaan dan ia diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia. Kalau ada aktiviti parti yang melanggar undang-undang yang mencetuskan ketidaktenteraman, parti itu tidak patut diluluskan dan patut diharamkan.”

Hubungan antara PAS dan MIC Kedah menjadi tegang baru-baru ini selepas Ketuanya di negeri itu, S Ananthan meminta BN “mengkaji semula” kerjasamanya dengan parti Islam itu.

Ia selepas Ananthan mendakwa tiada peruntukan untuk tempat ibadat bukan Islam dalam Belanjawan Kedah 2021 yang dibentangkan Sanusi baru-baru ini.

Malaysiakini dalam laporan minggu lalu memetik beliau yang mendakwa kerajaan negeri pimpinan PAS itu, antara lain, tidak memberi peruntukan kepada BN Kedah. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram