MB Kedah jahil patut letak jawatan jika gagal haramkan MIC, kata presiden parti



GEORGE TOWN: Presiden MIC S Vigneswaran berkata Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor harus meletak jawatan jika gagal mengharamkan parti komponen Barisan Nasional itu.

“Teruskan, cubalah untuk mengharamkan kami (MIC). Tetapi jika gagal, beliau (Sanusi) harus letak jawatan sebagai MB,” kata Vigneswaran kepada FMT.

Semalam Sanusi berkata MIC harus diharamkan sekiranya didapati menghasut rakyat, selepas parti itu membantah keras perobohan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah yang berusia lebih 50 tahun.


Sanusi memberi amaran kepada MIC “jangan celupar, jangan jadi hero berdasarkan populariti”.

Vigneswaran menyifatkan Sanusi sebagai jahil dan tidak layak menjadi MB.

“Kami ada hak untuk bertanyakan (isu perobohan kuil) kerana kebebasan mengerjakan ibadat dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau.

“Jika tindakan kami mempertahankan hak masyarakat disifatkan (beliau) sebagai menghasut, maka PAS juga mesti diharamkan berdasarkan pelbagai tunjuk perasaan yang dianjurkannya mengenai isu antarabangsa dan membuat dakwaan (Amerika Syarikat) adalah pengganas,” kata beliau.


Vigneswaran berkata berdasarkan sikap Sanusi, “tidak menghairankan DAP tidak boleh bekerjasama dengan PAS kerana keangkuhannya.”

Beliau berkata Sanusi sepatutnya mendokong jaminan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini tidak merobohkan mana-mana rumah ibadat bukan Islam.

Terdahulu, Naib Presiden MIC, T Mohan turut menyelar Sanusi, menyifatkan beliau sebagai seorang yang mencari publisiti murahan dengan menyerang MIC hanya kerana parti itu membangkitkan isu penting kaum India. – FMT




Join our Telegram Channel
Telegram