Lelaki ini mampu ingat dan cam 2,000 pesalah



London: Seorang anggota polis memiliki bakat luar biasa kerana mampu mengingati rekod dan wajah 2,000 suspek pelbagai kes walaupun mengenakan penutup muka.

Pegawai Sokongan Komuniti Polis di West Midlands, Andy Pope mengatakan dia dapat mengecam wajah tertuduh selama bertahun-tahun dan mengenal pasti mereka walaupun mengenakan penutup muka.

BBC melaporkan, kelebihan lelaki berusia 43 tahun itu diakui oleh ketua pasukannya pada 2018 ketika dia mencipta rekod mengingat 1,000 tertuduh dalam lima tahun yang menjadi tonggak sejarah.

Kemampuannya kini dapat mengingati wajah 2,000 tertuduh dan dijangka mencapai 2,500 orang pada 2022.


Lelaki hebat itu yang berasal dari Redditch mengatakan kemampuannya itu 'tidak dapat dijelaskan' hingga menerima gelaran 'manusia memori' oleh rakannya.

"Sebenarnya itu hanya naluri tetapi saya bernasib baik kerana terbukti benar sangkaan saya.

"Saya akan memastikan menerima maklumat terbaharu mengenai gambar orang yang dicari oleh pasukan dan ternyata ia berbaloi," katanya.

Pope bekerja di Birmingham dan mengawasi pusat pengangkutan di West Midlands dan sebahagian besar masanya dihabiskan dalam kereta dan bus.

Rekod mengingati tertuduh terbukti benar selepas dia berjaya mengenal pasti 17 suspek dalam sehari.


Dia juga boleh mengenali seorang lelaki di sebuah restoran sambil menunggu di lampu isyarat.

Berkat bakat luar biasa yang dimiliki, Pope bergabung dengan pasukan polis pada 2012 dan salah seorang daripada 20 ahli di Association of Super Recognisers.

Ia adalah sebuah badan yang mewakili mereka yang memiliki kemampuan memori yang sangat baik dan bakat mereka diakui melalui ilmu forensik.

Dia juga dicalonkan untuk Amplifon Awards For Brave Britons 2020 untuk kerjayanya. – Hmetro

 

Join our Telegram Channel
Telegram