Enam laporan seksual berkaitan pendakwah selebriti



SHAH ALAM -Polis Selangor menerima enam laporan berkaitan kes seksual dilakukan pendakwah selebriti setakat ini yang sebelum ini direman berhubung kes merogol kenalan Instagram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, ini termasuk lima di daerah Shah Alam dan satu di daerah Petaling Jaya.


“Suspek yang tamat reman untuk kes pertama esok akan dipohon sambungan remannya bagi siasatan kes yang baru diterima.

“Siasatan dijalankan dibawah kesalahan seksual seperti Seksyen 376 ( rogol), 354 (cabul), 377 (seks luar tabii) dan 323 (mencederakan) mengikut Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Fadzil turut menyeru sekiranya terdapat lagi mangsa-mangsa lain agar tidak bimbang untuk tampil membuat laporan polis.


Terdahulu, Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang pendakwah selebriti berusia 25 tahun direman lima hari bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan kes merogol seorang wanita di sebuah rumah di Seksyen 7 di sini, September tahun lalu.

Suspek yang juga bekas peserta program realiti agama sebuah televisyen swasta itu ditahan kira-kira pukul 11 malam pada 26 September lalu selepas tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. – Kosmo
Join our Telegram Channel
Telegram