Dr M punca Nurul Izzah menyepi dari politik, dedah Saifuddin



Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar perlu membuat keputusan berhubung untuk kembali memainkan peranan aktif dalam kepimpinan politik arus perdana, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution.

Dengan kepimpinan Pakatan Harapan terjejas akibat perbalahan mengenai hala tuju gabungan tersebut, gesaan supaya pemimpin muda tampil ke hadapan semakin meningkat dan Izzah, antara nama yang disebut-sebut.

Perselisihan faham dengan Dr Mahathir

"Dia terpilih sebagai naib presiden semasa pemilihan parti (2018) dan, tentu saja, ada beberapa perselisihan antara dia dan kerajaan PH, terutama dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang mempengaruhi keputusannya untuk mengundurkan diri sebagai anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC),” kata Saifuddin, lapor portal berita The Vibes.


Bagaimanapun, Saifuddin berkata peranan Izzah dalam parti masih penting untuk PKR.

Pada Disember 2018, Izzah turut mengundurkan diri sebagai naib presiden PKR, iaitu sebulan selepas dia terpilih menyandang jawatan tersebut itu apabila memperolei undian terbanyak dalam pemilihan parti.

Pada Julai lalu, MP Permatang Pauh berkata dia akan menjalankan tugasannya untuk mengukuhkan parti dan jentera tetapi enggan membabitkan diri dengan politik, mahupun terlibat dalam isu calon perdana menteri PH.

Sementara itu, ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu berkata, akar umbi PKR tidak sabar untuk melihat Izzah kembali aktif.


"Saya secara peribadi menerima banyak permintaan dari orang ramai dan anggota parti mengenai keperluan Nurul Izzah untuk kembali aktif dan tampil ke hadapan serta memainkan peranan penting dalam parti berbanding apa yang dilakukannya sekarang.

"Saya serahkan kepada kebijaksanaanya untuk memutuskan hala tujunya untuk kembali dalam politik arus perdana.

“Saya tidak melihat Nurul Izzah seorang yang cuba melarikan diri. Dia terlibat secara aktif di kawasan dan partinya," katanya.

Saifuddin berkata dia kini sedang mengadakan pertemuan mingguan dengan Izzah mengenai persediaan parti untuk pilihan raya akan datang dan dia juga bekerjasama dengan bekas naib presiden PKR Rafizi Ramli tentang analisis data.


"Apa yang membuat PKR berbeza dari parti lain adalah kita selalu bersiap-siaga untuk pilihan raya berdasarkan pangkalan data (sedia ada),” katanya.

Rafizi juga sebelum ini telah mengumumkan undur diri dari politik pada tahun lalu dan memberitahu bahawa dia lebih berminat menumpukan perhatiannya terhadap kemajuan teknologi.

Bagaimanapun, pada minggu lalu, dia bersuara dengan memberi peringatan kepada Anwar Ibrahim supaya bertindak segera terhadap individu tertentu dalam parti yang dianggapnya sebagai golongan pembodek terhadap ahli parlimen Port Dickson itu. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram