Da'i Syed berbaju lokap, direman 5 hari lagi berhubung dakwaan rogol



PETALING JAYA: Seorang pendakwah selebriti yang sebelum ini direman 10 hari di Mahkamah Shah Alam berhubung dakwaan kes merogol kenalan laman sosial Instagramnya, direman lagi di Mahkamah Majistret atas dakwaan serupa.

Perintah reman selama lima hari terhadap suspek berumur 25 tahun itu yang bermula hari ini dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah, Siti Mazrah Mohamad, selepas membenarkan permohonan polis untuk menahan reman lelaki itu.

Terdahulu, suspek yang merupakan bekas peserta program realiti agama tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya pada 10.30 pagi dengan memakai baju lokap ungu, berseluar oren dan tidak berkasut kemudian beredar meninggalkan mahkamah pada 12.40 tengah hari.


Suspek sempat mengucapkan terima kasih kepada media yang hadir membuat liputan kes yang dihadapinya serta turut meminta mendoakannya.

Peguam suspek, Syed Amirul Syed Edros yang ditemui selepas prosiding reman itu memaklumkan anak guamnya direman sehingga 11 Dis ini.

“Anak guam saya belum disabitkan bersalah, dia direman untuk membantu siasatan pihak polis. Hari ini, permohonan reman ke atas anak guam saya dibuat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (kesalahan rogol),” katanya.


Semalam, polis Petaling Jaya dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya akan memulakan siasatan terhadap suspek atas laporan merogol, cabul dan seks luar tabii yang dibuat terhadapnya.

Sebelum ini, media melaporkan polis Petaling Jaya menerima dua laporan polis terhadap suspek dengan satu daripada laporan atas dakwaan merogol dan satu lagi atas dakwaan cabul dan seks luar tabii.

Pada 27 Nov lepas, suspek direman selama 10 hari berhubung dakwaan kes rogol kenalan Instagramnya di Seksyen 7, Shah Alam, Sept tahun lepas. – FMT
Join our Telegram Channel
Telegram