KUALA LUMPUR: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mahu Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP) memudahkan pencarum mengeluarkan wang simpanan mereka secara
sekali bayar berjumlah RM10,000 tanpa sebarang syarat.
Beliau berkata, pada saat rakyat sedang dihimpit kesempitan kerana berdepan
pandemik Covid-19, amat wajar institusi itu memudah dan menyantuni keperluan
mereka.
“Saya mendengar serta membaca semua keluhan dan suara hati rakyat yang kecewa
dengan syarat-syarat dikenakan KWSP berkenaan pengeluaran i-Sinar Akaun 1
KWSP.
“Ternyata nada pengurusan KWSP amat berbeza dengan harapan positif yang
diberikan Menteri Kewangan (Tengku Zafrul Abdul Aziz) ketika sesi penggulungan
peringkat dasar Belanjawan 2021 tempoh hari,” katanya dalam kenyataan hari
ini.
Zahid berkata, Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Umno, termasuk sayap
Pemuda serta Puteri, sejak awal berpendirian tegas memperjuangankan isu
tuntutan pengeluaran wang Akaun 1 KWSP yang dibangkitkan rakyat.
Rabu lepas, KWSP mengumumkan dua kategori pencarum yang layak membuat
pengeluaran iaitu kategori satu pencarum yang bekerja dalam sektor formal,
bekerja sendiri, bekerja dalam sektor ekonomi gig, ahli yang sudah lama tidak
mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau ahli yang diberi notis cuti tanpa
gaji.
Kriteria bagi kategori 1 ialah ahli yang tiada caruman dengan KWSP
sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan, atau
ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30%
dan ke atas selepas Mac 2020.
Bagi kategori itu, tiada dokumen sokongan diperlukan, kelulusan secara
automatik berdasarkan data dalaman KWSP dan ahli hanya perlu memohon secara
dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 21 Dis 2020.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel