Ajal Tun Rahah: Pemimpin ucap takziah kecuali Dr M, Mukhriz



KUALA LUMPUR: Pemergian balu Perdana Menteri kedua, Allahyarhamah Tun Rahah Mohd Noah disifatkan satu kehilangan besar kepada negara.

Ramai pemimpin parti, pentadbiran kerajaan dan pimpinan pembangkang merakamkan ucapan takziah ke atas pemergian isteri kepada Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menyifatkan Tun Rahah sebagai seorang wanita yang cekal, penyayang, baik hati, tabah dan prihatin.

"Tun Rahah adalah ibu saudara saya yang cukup rapat. Banyak masa saya membesar di bawah penjagaan beliau. Insan ini amat penyayang, prihatin, baik hati dan tabah.


"Ketika Allahyarham Tun Abdul Razak meninggal dunia, Tun Rahah baru berusia 43 tahun. Saya kagum dengan kecekalan beliau membesarkan lima anak lelaki yang juga sepupu saya sendiri.

"Saya kerap ziarah beliau dalam beberapa bulan ini termasuklah yang terbaru semalam. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata betapa sedihnya saya apabila dimaklumkan beliau telah pergi buat selama-lamanya.

"Apa yang saya rasai ketika ini sama seperti ketika Allahyarhamah bonda saya (Tun Suhailah Mohd Noah) menghembuskan nafas terakhir enam tahun lalu," katanya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau dan keluarga besar UMNO merakamkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di atas pemergian bondanya.

"Semoga Allah menempatkan Allahyarhamah bersama kekasih-Nya dan diberi sebaik-baik balasan dengan limpahan keredaan.


"Semoga keluarga mantan Perdana Menteri kita diberi kekuatan oleh Allah menempuh ujian kehilangan insan yang tersayang," katanya.

Ucapan sama turut dirakamkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan mendoakan supaya roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

"Menerima berita duka Tun Rahah, isteri kepada bekas Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein kembali ke rahmatullah hari ini.

"Takziah saya ucapkan kepada keluarga Datuk Seri Najib Razak. Semoga Allah SWT mengurniakan rahmat kepada almarhum dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh," katanya.

Sementara itu, Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu kenyataan berkata, beliau turut bersedih dengan pemergian Tun Rahah.


"Baru terima berita sayu isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdul iaitu Tun Rahah pergi dijemput ilahi. Takziah kepada (Datuk Seri) Najib Razak sekeluarga. Saya turut bersedih dan mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat," katanya.

Bagaimanapun setakat hari ini tiada ucapan takziah dari bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad dipetik di mana-mana media.

Bukan setakat ucapan takziah, netizen juga mempersoalkan tiada ucapan maaf dari Ahli Parlimen Langkawi itu yang telah menggerakkan anggota polis untuk menggeledah rumah allahyarhamah Tun Rahah sehingga memecahkan siling dengan tujuan kononnya untuk mencari wang curi yang disorok.

Anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga dilihat hanya mendiamkan diri tanpa membuat sebarang kenyataan tentang pemergian ibunda Datuk Seri Najib Razak.

Netizen rata-rata amat kesal dengan sikap Tun Mahathir dan anaknya yang tidak menunjukkan sebarang rasa simpati kepada keluarga Datuk Seri Najib. politik telah benar-benar merosakkan hati mereka, dakwa netizen. – Bharian / Cinca


ARTIKEL BERKAITAN:




















Join our Telegram Channel
Telegram