7 laporan, pendakwah selebriti direman 5 hari lagi



SHAH ALAM – Seorang pendakwah selebriti disambung reman selama lima hari bermula esok bagi membantu siasatan berhubung kes merogol kenalan Instagram di Seksyen 7 di sini, September tahun lalu.

Perintah reman terhadap suspek berusia 25 tahun itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Ahmad Feisal Mohd. Azmi.

Terdahulu suspek yang merupakan bekas peserta program realiti agama sebuah saluran televisyen swasta hadir ke kompleks Mahkamah Shah Alam pukul 11 pagi dengan memakai baju Melayu berwarna hijau dan diwakili Peguam Ahmad Amzar Ahmad Azlan.

Suspek sebelum ini direman lima hari bermula Jumaat lalu yang berakhir hari ini.

Ahmad Amzar yang ditemui selepas prosiding reman itu memaklumkan anak guamnya menafikan tuduhan dan dakwaan terhadap sebarang kes melibatkan dirinya.


“Dia berada dalam keadaan sihat dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung laporan polis yang diterima (di daerah Shah Alam dan Petaling Jaya ),” jelasnya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dalam kenyataan sebelum ini menjelaskan lelaki itu ditahan pukul 11 malam pada 26 September selepas memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Katanya, penangkapan itu susulan laporan dilakukan mangsa berusia 23 tahun pukul 7.10 petang pada 25 September lalu.

“Siasatan awal mendapati mangsa keluar dengan lelaki itu yang dikenalinya menerusi laman sosial Instagram pada 11 September tahun lalu.

“Tujuan pertemuan itu adalah bagi berbincang berkenaan masalah kemurungan yang dihadapi mangsa dengan kaedah perubatan Islam.


“Lelaki itu telah membawa mangsa makan di kedai makan sebelum balik ke rumah dengan alasan untuk memberikan penerangan mengenai penyakit kemurungan dan didakwa telah merogol mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat memaklumkan sebanyak enam laporan polis diterima setakat ini dengan masing-masing lima di Shah Alam dan satu di Petaling Jaya.

“Siasatan dijalankan dibawah kesalahan seksual seperti Seksyen 376 (rogol), 354 (cabul), 377 (seks luar tabii) dan 323 (mencederakan) mengikut Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Setakat ini, tujuh laporan polis diterima melibatkan Da’i Syed. Sebelum ini pendakwah muda kelahiran program realiti keagamaan Da’i Pendakwah Nusantara musim keempat itu dikaitkan dengan satu kes rogol yang masih dalam siasatan.

Laporan ketujuh dilakukan oleh seorang wanita berusia 22 tahun yang bekerja sebagai guru di Balai Polis Damansara malam tadi. – Kosmo
Join our Telegram Channel
Telegram