Siti Kasim bantah larangan jual arak dijual di kedai runcit, serbaneka



GARIS panduan baharu lesen penjualan arak di Kuala Lumpur disifatkan akan membawa Malaysia ke arah menjadi ‘negara Taliban’

Pengasas Malaysian Action for Justice and Unity (MAJU) Siti Zabedah Kasim berkata, langkah itu akan menjadikan Malaysia lebih teruk berbanding Pakistan, negara Arab dan Nigeria.

“Negara ini bergerak menjadi negara Taliban. Ingat kata-kata saya. Orang-orang ini mencabul hak kita satu persatu.

“Sekiranya anda tidak mengatakan apa-apa, tidak lama lagi kita akan menjadi lebih teruk daripada Pakistan, dunia Arab atau bahkan Nigeria!” kata Siti Kasim.


Peguam tersebut mengulas laporan berita bahawa DAP Wilayah Persekutuan akan mengumpul bantahan daripada pihak berkepentingan yang terjejas dengan peraturan baru penjualan arak beralkohol tinggi (liquor) oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dalam garis panduan yang dikeluarkan DBKL semalam, kedai serbaneka, kedai runcit dan kedai ubat tradisional Cina tidak lagi dibenarkan menjual arak kecuali bagi tujuan ubatan tradisional bermula 1 Oktober tahun depan.

Bir pula masih boleh dijual tetapi hanya dari jam tujuh pagi hingga sembilan malam.

“Serius, apa yang dia orang jaki sangat mengenai penjualan alkohol di kedai-kedai ni ah? Pasal pemandu mabuk? Kemalangan babit pemandu mabuk adalah yang terendah di antara statistik yang diberikan.


“Jangan gunakan alasan yang tidak berasas ini untuk menghentikan hak orang yang mahu dan boleh minum di negara ini! Kalau kau orang tak nak minum, botol alkohol tu tak ada nak merayap kat kamu atau memanggil-manggil kamu suruh beli.

“Ni mesti idea Islamofascists cuba perlahan-lahan melaksanakan cara mereka lah ni … seperti apa yang telah mereka lakukan kepada semua pejabat kerajaan dan sekolah kita … Tu sebab ramai orang Melayu dah tak boleh guna guna otak dia lagi,” kata Siti Kasim.

DBKL dalam kenyataannya berkata, garis panduan dan syarat permohonan lesen itu dibuat bertujuan untuk mengawal kemudahdapatan penjualan dan pengambilan minuman beralkohol serta kawalan keselamatan, kesihatan warga kota.

Katanya, garis panduan dan syarat itu juga telah disemak dan dibuat penambahbaikan melalui perbincangan dan permuafakatan bersama dengan agensi-agensi berkaitan seperti Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Mengikut garis panduan itu, premis perniagaan menjual minuman keras yang memabukkan tidak boleh berhadapan dengan balai polis, rumah ibadah, sekolah dan hospital.

Had masa penjualan ditetapkan mengikut kelas antaranya Rumah Awam Kelas 1 melibatkan Pub/ Bar/ Lounge/ Restoran dari 10.00 pagi hingga 12.00 malam.

Pemohonan lanjutan masa LMK (Liqour Yang Memabukkan) boleh dipohon berpandukan had masa aktiviti hiburan atau ketetapan di zon pusat hiburan yang telah diluluskan dan maksimum masa penjualan liqour adalah sehingga jam 2 pagi sahaja.

Borong (Wholeseller) 7.00 pagi hingga 9.00 malam, Rumah Bir 10.00 pagi hingga 12.00 malam, Liquor 7.00 pagi hingga 9.00 malam. – SM




Join our Telegram Channel
Telegram