TERKINI: Anwar janji letak jawatan 7 hari selepas bajet 2021



PETALING JAYA: Ketua Pemuda Amanah Bukit Bintang, Sheikh Khuzaifah Bawazeer mendakwa Anwar Ibrahim berjanji akan melepaskan jawatannya sebagai pengerusi Pakatan Harapan (PH) jika gagal menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam tempoh 7 hari selepas pembentangan Belanjawan 2021.

Bagaimanapun katanya, ciapan yang merujuk kepada kenyataan itu sudah pun dipadam oleh beliau selepas semakan dibuat di akaun Twitternya malam ini.

Kenyataan mengenai Anwar berjanji untuk meletak jawatan sebagai pengerusi PH itu adalah antara 6 fakta yang disenaraikan pemuda Amanah terhadap Anwar.

Khuzaifah berkata, terlalu banyak perkara yang cuba disembunyikan untuk memperbodohkan pengundi dan ahli mengenai keadaan yang berlaku ketika sesi pengundian belanjawan semalam.


Beliau berkata, ia kerana belanjawan semata-mata kerana jika PH Plus mengambil alih kerajaan, belanjawan berkenaan tetap akan dibentangkan semula oleh kerajaan baru.

“Ia bukanlah kerana belanjawan. Kita dijanjikan setelah cubaan membawa akuan bersumpah (SD) gagal, kerajaan PN akan dijatuhkan melalui undian belanjawan.

“Arahan ketua pembangkang untuk tidak undi belah bahagi dikeluarkan tiba-tiba tanpa perbincangan selepas Ahli Parlimen Pokok Sena (Mahfuz Omar-Amanah) bangun membuat usul.

“Kota Raja (Mohamad Sabu-Amanah) dan Pulai (Salahuddin Ayub-Amanah) yang telah bangun, dipaksa duduk kembali.

“Ahli Parlimen Amanah yang lain gagal dihalang untuk bangun,” jelasnya.


Mengulas lanjut, beliau berkata, ketua pembangkang itu sekali lagi menyukarkan rakan-rakan pembangkang sama seperti ketika beliau memutuskan untuk berunding dengan “kumpulan lanun”, dipercayai merujuk kepada Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi.

“Beliau hanya boleh kata, jangan risau… saya ada SD. Muhyiddin sudah habis,” dalam mesyuarat PH selepas persidangan Dewan Rakyat semalam, katanya.

Sheikh Khuzaifah mendakwa, dalam mesyuarat itu semua pihak bersetuju untuk menunggu tempoh 7 hari seperti yang dijanjikan oleh presiden PKR itu dengan perbincangan tertumpu kepada cara untuk menjelaskan insiden di Dewan rakyat semalam kepada ahli parti masing-masing.

“Naratif yang dipersetujui adalah hanya tolak sebahagian belanjawan, lawan di pengundian jawatankuasa, tidak tolak dasar demi rakyat , walhal semua ini tidak pernah jadi isu,” katanya.


Dalam kenyataan hari ini, Anwar mendedahkan pemimpin PH, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu mahu undi belah bahagi dibuat terhadap Belanjawan 2021 di semalam, namun beliau meminta tidak berbuat demikian.

Anwar berkata, langkah itu supaya Ahli Parlimen dapat meneliti secara terperinci dan mendalam keseluruhan pengumuman menteri kewangan.

Katanya, masih wujud peluang bagi pembangkang menyatakan pendirian tegas, termasuk melalui undian belah bahagi di peringkat jawatankuasa pada minggu akan datang.

Semalam, Anwar dijangka meminta Ahli Parlimen pembangkang memilih supaya menentang rang undang-undang perbekalan itu, namun hanya 13 Ahli Parlimen yang berdiri untuk meminta undi belah bahagi, ketika sekurang-kurangnya 15 wakil diperlukan untuk proses itu. – FMT
Join our Telegram Channel
Telegram