Akar umbi Amanah kecam Anwar tak bangun tolak Bajet 2021



PETALING JAYA: Pimpinan akar umbi Amanah hari ini menolak sekeras-kerasnya tindakan sebelah pihak dan di luar keputusan mesyuarat oleh Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang secara tiba-tiba menukar keputusan meminta Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) tidak bangun menyokong undi belah bahagi bagi menolak Belanjawan 2021.

“Ia jelas menunjukkan tiada hormat kepada keputusan musyawarah dan majoriti yang telah dipersetujui.

“Seluruh ahli wajar mendukung aspirasi Presiden Amanah (Mohamad Sabu) yang mahukan agar kita semua memperkukuhkan kerjasama dan pada masa sama tidak memusuhi rakan pembangkang yang lain.


“Kami mendesak agar hala tuju yang jelas dan tegas mesti diputuskan dengan segera untuk mengembalikan mandat rakyat dengan menolak kleptokrat dan menafikan keabsahan kerajaan Perikatan Nasional,” menurut kenyataan itu.

Pada sesi pengundian Belanjawan 2021 Khamis lalu, Mohamad dan timbalannya, Salahuddin Ayub berhasrat untuk bangun menyokong usul belah bahagi, namun membatalkannya kerana menghormati saranan saat akhir oleh Anwar.

Terdahulu Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar (Amanah) mengemukakan usul undi belah bahagi selepas bacaan kali kedua belanjawan, tetapi usaha itu gagal selepas hanya 12 Ahli Parlimen bangun menyokong, sedangkan peraturan menetapkan sokongan minimum seramai 15 orang.


Salahuddin selepas itu memohon maaf kerana tidak bangun meminta undi belah bahagi dengan berkata, beliau bersedia menerima hukuman kerana tindakan itu.

Sebelum ini, Ketua Whip DAP Loke Siew Fook turut memohon maaf dan bersedia mengambil tanggungjawab penuh kerana mengarahkan Ahli Parlimen parti itu tidak bangun meminta undi belah bahagi bagi menolak Belanjawan 2021 di peringkat dasar.

Beliau berkata, arahan itu dibuat selepas menerima mesej daripada ketua pembangkang. – FMT 


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram