Zahid umum gencatan senjata, sokong kerajaan PN



Presiden Umno Zahid Hamidi petang ini mengumumkan “gencatan politik” susulan Covid-19 dan menegaskan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Zahid berkata, Umno juga mendokong kerajaan PN dalam memberi fokus kepada agenda membantu rakyat dan negara.

"Saya ingin menegaskan beberapa pendirian Umno seperti mana berikut, melakukan gencatan politik (political ceasefire) bagi memastikan agenda menangani Covid-19 dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan dan kegelisahan akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan.

"Mendokong kerajaan PN dalam memfokuskan agenda membantu rakyat dan negara mendepani pandemik Covid-19 serta kegawatan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan.


Zahid bagaimanapun tidak menghuraikan lanjut maksud “gencatan politik” itu.

Pada 13 Okt lalu biro politik Umno mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong gabungan PN.

Sebaliknya parti itu memberi syarat baru kepada kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik secara bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan dalam sidang media selepas mesyuarat biro politik majlis tertinggi parti itu di Menara Dato Onn.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman pula menuntut supaya jawatan timbalan perdana menteri dan portfolio penting dalam kabinet diberikan kepada Umno.


Layanan tidak adil kepada Umno, jelas Tajuddin, menjadi punca kepada parti itu untuk menarik semula sokongan kepada PN.

Dalam pada itu Zahid berkata, Umno memutuskan untuk mengarahkan kepimpinan parti dalam kabinet menumpukan usaha bagi menjayakan agenda membantu rakyat berdepan kesukaran akibat Covid-19.

Bagaimanapun katanya, kerjasama semua parti dalam PN harus diperkasakan demi kestabilan politik.

“Kerjasama semua parti dalam kerajaan Perikatan Nasional harus diperkasakan bagi menjamin kestabilan politik di saat negara menghadapi ancaman Covid-19 dan ketidaktentuan ekonomi negara,” katanya. – Mkini




Join our Telegram Channel
Telegram