Zahid tidak tahu Ku Li ke Istana Negara



KUALA LUMPUR – Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengatakan beliau tidak tahu mengenai kehadiran ahli politik veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah ke Istana Negara hari ini.

Sebaliknya, beliau hanya mengetahui mengenai kehadiran Tengku Razaleigh atau Ku Li itu melalui pihak media.

“Pasal Tengku Razaleigh jumpa tuanku petang ini saya tidak tahu…saya dapat berita ini daripada media,” katanya ketika ditemui selepas perbicaraan kesnya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.


Hari ini Ku Li yang juga Ahli Perlimen Gua Musang itu dilaporkan hadir menghadap Agong dan dilihat meninggalkan Istana Negara melalui pagar dua menaiki sebuah kenderaan jenis Mercedes pada pukul 2.43 petang.

Beliau bagaimanapun tidak memberhentikan kenderaannya bagi menjawab pertanyaan wartawan.

Sementara itu mengenai presiden parti-parti yang dititah untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Zahid berkata beliau masih menunggu surat rasmi dari Istana Negara.


Dalam pada itu, ditanya mengenai 120 Ahli Parlimen yang kemungkinan terdiri daripada ahli Umno yang didakwa menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Zahid mengatakan beliau juga tidak tahu mengenai perkara itu.

Pagi tadi Anwar hadir di Istana Negara pukul 11 pagi bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memberi keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya seperti dinyatakan ketika sidang medianya pada 23 September lalu. – Kosmo


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram