Usul undi tak percaya: Nak cepat lalu menteri – Azhar Harun



PETALING JAYA: Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menegaskan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat tidak akan dipercepatkan perbahasannya tanpa penerimaan oleh seorang menteri.

Katanya, amalan sama turut digunapakai di Australia.

“Perlu saya tegaskan bahawa kedudukan usul undi tidak percaya dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bukanlah unik kepada sistem yang kita amalkan.

“Malah, sistem yang diamalkan di Australia juga hampir serupa dengan amalan kita di mana sesuatu usul undi tidak percaya itu tidak akan dipercepatkan perbahasannya tanpa penerimaan oleh seorang menteri,” katanya menerusi kenyataan sebagai menjelaskan isu dibangkitkan ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berhubung usul tidak percaya di Dewan Rakyat.


Azhar turut menekankan apa-apa usul yang dibuat akan dimaklum kepada beliau atau setiausaha Dewan Rakyat mengikut peratusan mesyuarat dan undang-undang.

Beliau turut memaklumkan, penjelasan secara bertulis turut diberi kepada Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li.

Terdahulu, Azhar mencadangkan Ku Li berunding dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan bagi membolehkan usul persendirian diberi keutamaan dan dibentang di Dewan Rakyat.

Azhar berkata, tugasnya sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat terikat dengan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat sedia ada, menjawab pertikaian dibangkitkan Ku Li yang memohon jaminan supaya usul tidak percaya dibawa ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad dibentang di Dewan Rakyat.


Ku Li dalam suratnya bertarikh 25 September lalu kepada Azhar berkata, usul tidak percaya yang dibawa Mahathir amat penting atas beberapa sebab, ini termasuk membabitkan kesahihan kerajaan sekarang ini.

Menurutnya, jika usul tersebut disokong oleh sebahagian besar ahli Dewan Rakyat, perkara itu haruslah dipersembahkan kepada pengetahuan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Katanya, dari segi perlembagaan ia tidak memperuntukkan dalam tatacara tetap yang boleh menghalang usul tidak percaya ini daripada dibentang di Dewan Rakyat dan mengharap usul ini dijadikan sebagai suatu keutamaan pada persidangan akan datang.

Azhar berkata, dakwaan yang menyatakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak membenarkan usul tidak percaya dibahaskan dengan cara menyenaraikan di penghujung senarai kertas aturan urusan mesyuarat harian juga adalah tidak benar. – FMT




Join our Telegram Channel
Telegram