TERKINI: Umno pertimbang tarik diri dari sokong PN



Hubungan tegang dalam Perikatan Nasional (PN) memasuki episod baru apabila Umno malam ini mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong gabungan itu.

Sebaliknya parti itu memberi syarat baru kepada kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik secara bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan dalam sidang media selepas mesyuarat biro politik majlis tertinggi parti itu di Menara Dato Onn malam ini.

"Umno membuat pertimbangan untuk menarik diri dari menyokong Perikatan Nasional dan akan memberi syarat baru kepada kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.


"Umno akan mencadangkan kepada jawatankuasa pemandu Muafakat Nasional agar Muafakat Nasional didaftar dengan segera sebagai sebuah gabungan politik yang sah," katanya.

PN merupakan ikatan longgar diterajui Bersatu yang mentadbir kerajaan persekutuan bersama-sama Umno-BN, PAS dan dengan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Pemimpin Umno sebelum ini menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Bersatu terutama apabila jawatan ketua menteri Sabah diserahkan kepada parti itu selepas pilihan raya negeri baru-baru ini.

Manakala MN pula merupakan gagasan kerjasama antara PAS dan Umno sebelum disertai Bersatu pada Ogos lalu.


Akan maklumkan kepada Muhyiddin esok

Ketika ditemui selepas itu, Ahmad berkata keputusan yang dicapai dalam mesyuarat malam ini telah dipersetujui sebulat suara oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno di setiap negeri tanpa ada sebarang bantahan.

Katanya, Umno juga akan memaklumkan mengenai perkara itu kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, esok.

Tambahnya, Umno berpandangan bahawa kestabilan politik sangat penting dan pertumbuhan ekonomi mesti ditingkatkan


Oleh itu, katanya, sebarang keputusan yang Umno lakukan adalah untuk manfaat rakyat, agama, bangsa dan negara.

Diminta mengulas sama ada ketetapan Umno malam ini dibuat kerana parti itu mengambil pendirian untuk menyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim, beliau mengambil sikap berteka-teki.

“Ada saya cakap macam tu ke?" katanya ringkas.

Mesyuarat malam ini dipengerusikan Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi. – Mkini



 
Join our Telegram Channel
Telegram