Tonton video lucah tak salah, harus dalam ajaran Hizbut Tahrir



JOHOR BAHRU – Fahaman Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) yang diharamkan di Johor membenarkan lelaki dan wanita yang tiada ikatan bebas bersalaman, boleh bercumbu dengan wanita yang boleh dikahwini dan harus menonton filem lucah.

Fahaman atau ajaran HTM yang jelas bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) juga membenarkan perbuatan mencium jantina lain tanpa niat berzina, perbuatan manusia tiada kaitan dengan qada dan qadar, hidayah bukan daripada Allah dan haram meyakini azab kubur pasti akan berlaku.

Itu antara ajaran dan amalan yang didedahkan oleh Jabatan Mufti Johor yang bertekad mahu memerangi penularan fahaman HTM yang boleh memecahbelahkan perpaduan umat Islam di negeri itu selain memesong akidah umat Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, pergerakan kumpulan itu dikesan aktif di Johor sejak tahun lalu dan bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.


Larangan kepada HTM termaktub dalam warta kerajaan Negeri Johor bertarikh 15 Julai 2019.

Berikutan pengharaman dan warta kerajaan negeri, Jabatan Mufti Johor tidak menerima sebarang memorandum HTM kerana ia bukan pertubuhan yang berdaftar secara sah.

“Pada Ahad lalu, satu kumpulan yang mendakwa HTM menghantar memorandum bantahan mengenai fatwa fahaman kumpulan tersebut, namun tidak diterima oleh Jabatan Mufti Johor.

“Selepas gagal menyerahkan memorandum berkenaan, mereka (HTM) membuat kenyataan di laman Facebook HTM menyatakan fatwa (dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor) adalah fitnah, pembohongan, pemesongan fakta dan keliru,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar di sini semalam.

Turut hadir Mufti Johor, Datuk Yahaya Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Md. Rofiki A. Shamsudin.


Beliau mengingatkan HTM atau mana-mana pihak supaya berhati-hati dalam membuat kenyataan bagi mengelak kekeliruan dan perpecahan dalam masyarakat.

Dianggarkan lebih 10 badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis bagi menyatakan pendirian tidak puas hati selepas paparan HTM di Facebook itu.

Tosrin berkata pengaruh kumpulan itu dipercayai cuba dikembangkan di bandar raya ini sejak tahun lalu.

Apa yang dibimbangkan, kumpulan itu boleh mengancam keharmonian negara apabila menolak sistem pilihan raya dan cenderung menggulingkan pemerintah yang tidak melaksanakan hukum Islam.

Tosrin juga mendedahkan seorang pemimpin kanan fahaman itu di negeri ini yang berusia lingkungan 40-an sedang dalam proses bicara di Mahkamah Syariah di Johor. Lelaki itu ditahan memberi ceramah tanpa tauliah di Skudai di sini pada 3 Julai 2019.

“Pihak Jabatan Mufti Johor tidak merancang untuk mengadakan sebarang pertemuan dengan HTM memandangkan mereka bukanlah pertubuhan yang berdaftar selain bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya. – Kosmo





Join our Telegram Channel
Telegram