Azmin, Hamzah gila kuasa – Puad Zarkashi



ANGGOTA Kabinet Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin didakwa sebagai orang ‘gila kuasa’ yang sebenar.

Dakwaan sedemikian muncul susulan terdapat mengatakan Mohamed Azmin memainkan peranan mengarah ‘cyber troopers’ PN menggunakan naratif ‘UMNO gila kuasa’.

Malah, beliau juga didakwa meminta memainkan isu UMNO mahu Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Perkara berkenaan dikatakan punca kenapa UMNO dituduh sebagai gila kuasa apabila bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.


Malah, berita mengenai surat sokongan kononnya ditandatangani Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga dikatakan berpunca daripada tindakan Ahli Parlimen Gombak itu.

“Pengatur politik macam Azmin Ali (Mohamed) dan Hamzah Zainuddin sudah tentu memerah otak untuk gagalkan keputusan Biro Politik UMNO.

“Sebagai Ketua Penerangan PN, Azmin (Mohamed) katanya arah cyber troopers PN guna neratif ‘UMNO gila kuasa’ dan ‘UMNO mahu Anwar jadi PM (Perdana Menteri)’.

“Sebab itu timbul tohmahan kononnya Zahid dan Najib menghantar surat memaklumkan Yang di-Pertuan Agong bahawa UMNO menyokong Anwar.”

“UMNO menang tujuh PRK kerana berlaku kekosongan apabila ada YB (penyandang) yang meninggal dunia.


“Sebagai parti politik sudah tentu UMNO kena letak calon. Apakah itu gila kuasa?”

Demikian soal Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi dalam satu kenyataannya baru-baru ini susulan mendakwa terdapat cubaan menggagalkan keputusan Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan antara resolusi parti tersebut adalah memastikan Muafakat Nasional (MN) didaftarkan sebagai sebuah parti.

Justeru, jika koalisi antara UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berdaftar sebagai sebuah parti, kedudukan Bersatu sebagai pemimpin kerajaan akan terjejas.

Jadi, keadaan itu juga akan menjejaskan kedudukan Mohamed Azmin dan Hamzah yang merupakan Ahli Parlimen Larut.

Oleh demikian, Mohd. Puad menjelaskan hakikat sebenar yang gila kuasa adalah Mohamed Azmin yang memegang jawatan Menteri Kanan paling kanan dan Hamzah yang merupakan Menteri Dalam Negeri.


“Yang gila kuasa ialah mereka yang melompat parti dan kemudian cuba membunuh parti yang melahirkannya.

“Semoga Azmin dan Hamzah terasa pedasnya bila makan cili.

“Tetapi politiking gila kuasa dalam PPBM menyebabkan berlaku pertukaran jawatan Perdana Menteri dalam tempoh seminggu antara Mahathir (Tun Dr.) dengan Muhyiddin (Tan Sri).

“UMNO mengambil pendirian menyokong kedua duanya supaya pentadbiran kerajaan terus berfungsi dan kebajikan rakyat tidak terabai. Apakah itu gila kuasa?” dakwanya.

Selain itu Mohd. Puad turut mendakwa cubaan Hamzah mengagalkan usaha UMNO ketika PRN Sabah juga tidak berjaya apabila UMNO kekal sebagai pemegang kerusi Dewan Undanga Negeri (DUN) terbanyak.


Tambahnya, Hamzah dan PN dikatakan cuba menikam UMNO dari belakang dan hal berkenaan didakwa benar-benar berlaku.

“Malangnya di PRN Sabah UMNO ditikam dari belakang. Ia bukan cobaan. Ia adalah betul betul.

“Alhamdulillah Hamzah Zainuddin gagal menimbus UMNO di Sabah.

“Itulah pencetus kepada keputusan Biro Politik UMNO. Salahkah UMNO menuntut supaya PN diurus atas konsensus parti politik bukan lagi individual MP (Ahli Parlimen)?

“Kalau itu tidak dipersetujui, jelaslah siapa yang gila kuasa. UMNO akan terus bangkit umpama ‘biri-biri menjadi singa’,” jelasnya. – SM
Join our Telegram Channel
Telegram