Azalina dedah pernah ditawar lompat parti



KOTA TINGGI : Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mendakwa pernah diberikan pelbagai habuan dan tawaran oleh pihak tertentu agar lompat ke parti lain.

Bagaimanapun, Azalina menegaskan, beliau tidak akan sesekali berbuat demikian dan berjanji untuk terus setia dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sehingga ke hari ini.

“Saya tidak keluar dan tidak lari (daripada perjuangan UMNO), saya pegang janji saya kepada orang Pengerang, kita hidup mati bersama, mereka ikhlas dengan perjuangan saya dan saya juga ikhlas dengan perjuangan orang Pengerang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Projek Koop City Bandar Penawar di sini hari ini.


Beliau mengulas dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan permintaannya untuk menghadap Seri Paduka Baginda pada 13 Oktober ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, tujuan menghadap itu adalah untuk mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli Parlimen yang kukuh.

Sebelum ini, Anwar mendakwa beliau mempunyai majoriti yang kukuh dan meyakinkan iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.


Mengulas lanjut, Azalina yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, Seri Paduka Baginda akan membuat keputusan terbaik dengan meletakkan kepentingan rakyat dalam menentukan hala tuju politik di negara ini..

“Kita tunggu Selasa ini tengok apa jadi. Selagi belum ada undang-undang lompat parti, siapa-siapa pun boleh lompat parti. Kita boleh dengar cerita lompat parti tiap-tiap minggu macam dalam cerita Hollywood atau Bollywood.

“Pening kepala rakyat, macam-macam berlaku, hari ini dia lompat (parti) esok dia pusing balik. Malapetakalah negara kalau macam ini. Ini boleh berlaku (lompat parti) hari-hari, susahlah kita macam ini,” katanya. – Utusan


ARTIKEL BERKAITAN:



Join our Telegram Channel
Telegram