Anwar nafi miliki saham dalam syarikat adiknya



Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini menasihati para pelabur saham agar berhati-hati dengan dakwaan ada yang membeli saham yang dilihat memiliki kaitan dengannya di Bursa Malaysia.

Perkara itu dilaporkan The Edge Markets pada 9 Oktober lalu berkenaan kaunter yang dilihat menjalani urus niaga secara aktif.

Ia berikutan dakwaan Anwar pada 23 September lalu bahawa dia memperolehi “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baru dan akan mengadap Yang di-Pertuan Agong esok.

"Saya difahamkan tersebar khabar angin di pasaran saham yang mengaitkan nama saya dengan kaunter-kaunter tertentu di Bursa Malaysia.


"Ini adalah tidak benar sama sekali. Ingin ditegaskan bahawa saya tidak memiliki saham dalam mana-mana syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

"Cakap-cakap yang mengaitkan nama saya dengan syarikat tertentu adalah palsu dan berniat menipu para pembeli saham," katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar juga menggesa Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti untuk memantau dan mengambil tindakan sewajarnya agar pasaran saham tidak dimanipulasi oleh pihak yang ingi mengaut keuntungan dengan menyebar khabar palsu.

Laporan The Edge markets itu antara lain merujuk saham Malayan United Industries Bhd and Pan Malaysia Holdings.

Menurut laporan itu, adik Anwar iaitu Farizon Ibrahim adalah pengarah di kedua-dua syarikat. Farizon dilantik menjadi Lembaga Pengarah pada 26 June 2018 sejuruh Pakatan Harapan menang PRU14.


Sehari sebelum pengumuman Anwar, saham Malayan United Industries Berhad yang diniagakan adalah 181,742 unit. Ia meningkat kepada 3.9 unit apabila pasaran ditutup Jumaat lalu.

Bagaimanapun harganya tidak stabil. Ia ditutup pada RM0.125 seunit pada 22 September dan RM0.14 seunit pada Jumaat lalu.

Bagi Pan Malaysia Holdings pula, sebanyak 96,821 sahamnya diniagakan pada 22 September dan naik 23 kali ganda pada Jumaat lalu, iaitu dengan 2.23 juta unit.

Harga sahamnya juga tidak menentu, ditutup pada RM0.205 seunit pada 22 September dan dijual lebih rendah pada Jumaat lalu, dengan RM0.185 seunit. – Mkini





ARTIKEL BERKAITAN:
 




Join our Telegram Channel
Telegram