Sultan Johor kurnia Myvi kepada 10 jururawat Wad Diraja HSA



JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, berkenan mengurniakan 10 kereta Perodua Myvi kepada 10 jururawat yang bertugas di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Menerusi hantaran serta gambar yang dimuat naik dalam laman Facebook baginda, kurniaan itu bagi menzahirkan penghargaan atas sumbangan serta khidmat jururawat berkenaan kepada baginda dan keluarga Diraja Johor.


Kenderaan itu disampaikan kepada jururawat berkenaan dalam majlis di Kasawari Motors Sdn Bhd di Larkin oleh Pengarah Kasawari Motors Muhammad Fahmi Hassan.

Menurut hantaran itu, penyelia jururawat Matron Rokiah Samin yang bertugas di Wad Diraja HSA sejak 2006, melahirkan kesyukuran atas kurniaan berkenaan.

“Mewakili mereka yang lain, saya menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada baginda Tuanku Sultan atas kurniaan ini.


“Besar sungguh nilainya kepada kami semua dan kami juga sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Sultan Johor serta keluarga Diraja Johor,” katanya.

Turut berkongsi perasaan sama, Nuraini Aziz, 28, yang hadir sendiri untuk menerima kenderaan berkenaan walaupun masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak, 3 hari lepas.

“Saya bersyukur dapat hadir kerana ini merupakan kenangan yang sangat istimewa. Kami akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada Sultan Johor dan keluarga Diraja Johor,” katanya. – FMT 




Join our Telegram Channel
Telegram