SPRM dikecam kerana wujudkan portal bahasa Mandarin




SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikecam oleh warganet kerana melancarkan  portal berbahasa Mandarin.

Pengumuman SPRM di Facebooknya mengenai pelancaran portal itu dipenuhi dengan komen yang mempersoalkan keperluan suruhanjaya itu mempunyai portal selain daripada bahasa kebangsaan.

“Tidak perlu dan tiada keperluan untuk buat portal bahasa lain selain daripada bahasa rasmi negara kita . Seharusnya rakyat mendalami bahasa ibunda dengan sepenuhnya bukan minta pembaharuan dalam penyampaian maklumat dalam bahasa-bahasa tertentu. Bahasa Melayu bahasa rasmi negara ini. Sepatutnya rakyat berusaha untuk memahami bahasa rasmi negara sebab tinggal di Malaysia,” tegas Fazrin Aswar Roslee.


“Harap ada menteri yang pertikaikan benda ni, SPRM lari dari landasan. Tiada keperluan pun nak buat portal tu,bahasa rasmi bahasa kebangsaan harus dibelajari dan difahami. Kalau SPRM buat macm ni akan ada kaum-kaum lain juga tuntut. Harap faham la ya,” komen Hairul Izz.

“Kenapa perlu? Bahasa kebangsaan sudah cukup sebab SPRM agensi kerajaan. Sama ada mereka faham atau tidak itu bukan masalah SPRM. Tapi masalah mereka yang sudah duduk puluhan tahun tapi masih tak faham bahasa Malaysia,” kata Der Btader.

“SPRM, sebagai sebuah agensi kerajaan sepatutnya anda menyahut seruan memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Malaysia. Di mana bertujuan untuk membantu menyemai rasa kekitaan di kalangan rakyat tanpa mengira kaum. Rasionalnya ialah untuk tujuan perpaduan, penggunaan integriti dan bersatu hati. Sila dengari suara majorit rakyat Malaysia,” komen Muhammad Syazwan Ruslan.

“Tindakan yang kurang bijak dari sudut mendaulatkan bahasa kebangsaan sebagaimana yang telah termaktub dalam Perlembagaan negara,” tegas Buana Mahawangsa.


SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, portal berbahasa Mandarin tersebut bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat tentang pencegahan rasuah dan perkara-perkara berkaitan suruhanjaya ini.

SPRM berharap dengan kemudahan terbaharu itu, ia dapat meningkatkan lagi keyakinan dan pengetahuan masyarakat Cina terhadap SPRM dan agenda antirasuah di samping menyebar luas mesej pendidikan pencegahan rasuah.

Portal tersebut dilancarkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, YBhg. Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya hari ini.

Portal berkenaan boleh dilayari di pautan https://www.sprm.gov.my/cn/ – SM 








Join our Telegram Channel
Telegram