Pemimpin PKR tinggalkan dewan ketika Shafie umum calon



CYBERJAYA – Pemimpin PKR dilaporkan meninggalkan dewan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah ketika Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal mengumumkan calon dan kerusi yang akan ditandingi parti itu dan sekutunya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Memetik laporan Malaysiakini, sekumpulan pemimpin PKR itu dilihat ‘gelisah’ seperti ‘tidak senang duduk’ apabila baki kerusi yang diperuntukkan untuk ditandingi PKR hanya tujuh kerusi berbanding 14 kerusi sasaran asal.

Pemimpin PKR itu kemudian dilihat meninggalkan dewan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu selepas berbincang dengan Ketua PKR Sabah Christina Liew.

Semalam, PKR mengumumkan akan bertanding di 14 kerusi termasuk empat daripada 13 kerusi baru yang diperkenalkan iaitu Segama, Limbahau, Sungai Manila, dan Pintasan yang akhirnya dibolot semua oleh Warisan.



Tujuh kerusi yang diberikan untuk ditandingi PKR adalah Api-Api, Inanam, Tempasuk, Tamparuli, Matunggong, Klias, dan Sook.

Memetik laporan sama, selepas perwakilan dari PKR dan Christina Liew keluar dari dewan tersebut, wartawan kemudian menyusuri Liew untuk mendapatkan penjelasannya.

Beliau bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen dan berkata bahawa dia ingin ke tandas, namun Liew dan pimpinan PKR lain didapati tidak kembali ke dewan tersebut.

Apabila calon pilihan raya yang diumumkan diminta naik ke atas pentas untuk sesi bergambar, Liew tidak kelihatan.



Dalam perkembangan berkaitan, DAP dan Amanah dikatakan tidak mempunyai sebarang masalah dengan kerusi yang diberikan untuk PRN Sabah dan akan bertanding menggunakan logo Warisan.

Sementara itu, Shafie ketika mengulas pembahagian kerusi itu berkata, semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dahulu PKR sudah diberikan banyak kerusi namun hanya menang dua sahaja di negeri itu.

“Ini bukan masa untuk kita memberikan kerusi, ini masa untuk kita memenangi pilihan raya.

“Ia bukan soal: ‘Oh, parti kami akan dipandang rendah kalau kami dapat jumlah yang lebih kecil’.

“Bukan soal maruah parti yang jadi keutamaan kita. Maruah untuk kita menang pilihan raya yang lebih penting,” katanya. – SuaraTV


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram