Pelajar pondok direman bantu siasatan cabul anak jiran



DUNGUN: Seorang pelajar sekolah pondok di Setiu ditahan reman seminggu sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes gangguan seksual terhadap seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang merupakan jirannya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, suspek lelaki berusia 19 tahun itu ditahan Ahad lalu di rumahnya di Kampung Alor Tembesu di sini, kira-kira pukul 3.15 pagi.


Katanya, penahanan itu susulan laporan yang dibuat oleh seorang doktor di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

“Pengadu yang merupakan seorang doktor memeriksa kanak-kanak berusia lima tahun itu yang disyaki dicabul jirannya.

“Menurut keterangan ibu dan bapanya, kanak-kanak itu dipanggil ke rumah suspek pada pukul 12.30 tengah hari pada Jumaat lalu dan selepas 30 minit kemudian mangsa pulang dalam keadaan menangis di samping mengadu sakit pada bahagian kemaluan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Baharudin berkata, ekoran kejadian itu, keluarga mangsa membawanya ke hospital untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, katanya, laporan perubatan mengesahkan tiada kemasukan serta kesan koyakan pada alat sulit mangsa dan hanya mempunyai kesan ekzema pada kulit. – Utusan 



Join our Telegram Channel
Telegram