LIVE UPDATE: KIRAAN UNDI PRN SABAH



27.9.2020-00.20 pagi: Rasmi: GRS menang 38 kerusi, menurut SPR

Hasil semakan di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya mendapati Gabungan Rakyat Sabah meraih majoriti mudah pada Pilihan Raya Negeri di Sabah ke-16 dengan memenangi 38 daripada keseluruhan 73 kerusi.

GRS merangkumi Perikatan Nasional yang memenangi 17 kerusi, Barisan Nasional (14 kerusi) dan PBS (7 kerusi).

Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan (29 kerusi), PKR (2 kerusi) dan Upko (1 kerusi) berjaya menawan 32 kerusi.

Calon bebas pula menang di 3 kerusi.




11.59 malam: Rasmi: GRS menang 37 kerusi, raih majoriti mudah

Rasmi sudah Gabungan Rakyat Sabah menang di 37 kerusi yang menandakan ia meraih majoriti mudah untuk menang PRN, menurut kiraan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada masa laporan ini ditulis, kiraan SPR juga menyebut Warisan Plus menang 28 kerusi dan calon bebas menang tiga kerusi.




10.50 malam: Hina tentera perang ayam anjing tak jejas Mohammadin menang besar di Segama

Walaupun membuat kenyataan yang dilihat menjejaskan reputasinya sebelum ini, Mohamaddin Ketapi dari Warisan menang besar di Segama.

Menurut keputusan rasmi, dia menang dengan majoriti 2,168 undi.

Sebelum ini, Mohamaddin dikritik kerana menyifatkan serangan di Lahad Datu adalah "sandiwara" dengan menghina tentera berperang dengan ayam dan anjing.




10.40 malam: Rasmi: Warisan, BN seri 22 kerusi

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan keputusan di 46 daripada 73 kerusi.

Pada masa ini, jumlah rasmi adalah 22 kerusi dimenangi Warisan, 22 BN dan dua dari calon bebas.


10.25 malam: Pengumuman GRS menang satu penipuan, Warisan masih berharap

Calon Warisan di kerusi Darau, Adzhar Matussin mendakwa pengumuman Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya satu “penipuan” kerana keputusan rasmi keseluruhan belum diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Mereka memang selalu macam itu, umum saja sedangkan belum ada keputusan rasmi.

“Kita akan tunggu sehingga keputusan rasmi dibuat dan mudah-mudahan kemenangan berpihak kepada kita,” katanya di Rumah Yayasan Sabah.


10.00 malam: Bung, Hajiji menang, siapa bakal KM Sabah?

Ketua Barisan Nasional Sabah, Bung Moktar Radin memenangi kerusi Lamag.

Upko pula kehilangan kerusi Paginatan dan Nabawan.

Calon Perikatan Nasional, Hajiji Noor memenangi kerusi Sulaman dengan majoriti 3,099 undi.

Ketua PPBM Sabah itu mendapat 5,919 undi, menewaskan calon Warisan, Aliasgar Basri (2,820 undi) dan Parti Cinta Sabah, Rekan Hussien (253 undi).

Terdapat 11,711 pengundi di kawasan itu.

Siapa bakal diangkat menjadi ketua menteri sabah?




9.40 malam: Bung isytihar kemenangan, ucap terima kasih pada pengundi

Ketua BN Sabah Bung Moktar Radin mengisytiharkan kemenangan dan mendakwa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sabah yang mahukan perubahan," katanya di ibu pejabat Umno Sabah di Kota Kinabalu.

Pengisytiharan oleh Bung diadakan secara berasingan dengan yang dibuat oleh Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin, yang bersama pemimpin Perikatan Nasional di Hotel Magellan.

Setakat ini, Suruhanjaya Pilihan Raya belum mengumumkan keputusan rasmi.




9.30 malam: Suasana suram di tempat Warisan Plus berkumpul

Suasana agak suram di Rumah Yayasan Sabah, Likas, lokasi yang dipercayai pemimpin Warisan Plus berkumpul.

Sehingga kini, belum kelihatan kelibat Presiden Warisan, Shafie Apdal dan pemimpin lain Warisan Plus.

Difahamkan, Shafie berada dalam kediaman itu, namun puluhan wartawan yang berkumpul di luar seawal 6 petang tadi tidak dibenarkan masuk.




9.20 malam: Hampir semua calon Bersatu bekas Umno menang

Cubaan Warisan Plus melabelkan wakil rakyat yang berpaling tadah tidak menjejaskan Bersatu.

Bersatu meletakkan lapan Adun yang berpaling tadah dari Umno sebagai calon parti itu. Semua calon berkenaan menang kecuali Abd Muis Picho di Sebatik.

Tujuh Adun yang menang ialah Hajiji Mohd Noor (Sulaman), Ghulam Haidan Khan Bahadar (Kawang), Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Isnin Aliasnih (Klias), Limus Jury (Kuala Penyu), Masidi Manjun (Karanaan) dan Nizam Abu Bakar (Apas). 


9.14 malam: Setiausaha Agung PN isytihar GRS menang

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudddin mengisytiharkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang dalam pilihan raya kali ini setelah keputusan tak rasmi menunjukkan mereka berjaya meraih 37 daripada 73 kerusi.


9.10 malam: Pusat operasi PN riuh dengan sorakan

Para pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan penyokongnya yang berkumpul di pusat operasi dalam keadaan ceria ketika mereka mendahului PRN Sabah.

PN bersama-sama PBS dan BN, yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara tidak rasmi memenangi sejumlah 37 kerusi negeri daripada 73.

Skrin gergasi di situ menunjukkan Warisan memperoleh 19 kerusi.

Sekiranya keputusan ini disahkan, GRS memperoleh majoriti dewan undangan negeri Sabah.

Anggota dan penyokong PN dilihat menyanyi dan bersorak sambil melaungkan "GRS" dan "ubah balik",

Turut hadir ialah Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin, anggota Majlis Tertinggi Azmin Ali, Presiden Star Yong Teck Lee.

Meskipun GRS menyertai PRN sebagai gabungan, BN mengendalikan pusat operasi sendiri di ibu pejabat parti.


9.06 malam: Tak rasmi: GRS hanya perlu 1 kerusi lagi

Gabungan Rakyat Sabah dikatakan hanya perlukan 1 kerusi lagi untuk membentuk kerajaan baharu dengan majoriti mudah.

Angka tidak rasmi menunjukkan gabungan Barisan Nasional, Perikatan Nasional, dan PBS itu, menawan 36 kerusi daripada 73 yang dipertandingkan.

Penyokong bersorak sambil menyanyikan lagu “terima kasih orang Sabah” dan “ubah balik”.


9.00 malam: Tak rasmi: GRS tawan 34 daripada 73 kerusi

Angka tak rasmi menunjukkan Gabungan Rakyat Sabah menawan 34 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.

Angka sama juga menunjukkan Warisan Plus meraih 15 kerusi, Usno (1), dan calon Bebas (3).


8.50 malam: Tak rasmi: Upko kalah di semua kerusi yang ditandingi

Kiraan undi setakat ini nampaknya tidak menyebelahi Upko. Presidennya Wilfred Madius Tangau tewas di Kiulu di tangan penyandang Joniston Bangkuai dari PBS.

Parti itu juga gagal mengekalkan kerusi Paginatan dan Nabawan yang dimenangi pada PRU18. Untuk rekod, wakil rakyat di dua kerusi itu telah melompat parti sebelum ini.

Sementara itu, keputusan tidak rasmi juga menunjukkan kempen Upko di Labuk tidak berjaya.

Secara keseluruhan parti itu bertanding di 12 kerusi dalam PRN ini.


8.45 malam: Umno rampas tiga kerusi dari Warisan

Warisan berjaya menawan Sebatik dari BN-Umno tetapi BN-Umno telah mengambil Sekong, Pantai Manis dan Karambunai dari Warisan.

Sebatik telah lama menjadi kubu kuat Umno.

Namun, penyandang jawatan Abd Muis Picho mempunyai rekod lompat parti ke Warisan sebelum kembali semula dengan partinya sebelum pilihan raya.


8.30 malam: Tak rasmi: Warisan Plus menang 4 kerusi

Warisan Plus menang 4 kerusi menurut angka tidak rasmi daripada DAP.

Empat kerusi itu adalah Luyang, Likas, Sri Tanjong, dan Elopura. Calon-calonnya dari DAP.


8.15 malam: Mohammadin Ketapi dahului di Segama

Calon Warisan Plus, Mohamaddin Ketapi mendahului pertarungan 8 penjuru di kerusi Segama.

Terdapat 16,575 pengundi di kawasan itu.


7.30 malam: Warisan Plus dahului di 6 kerusi

Warisan Plus mendahului di 6 kerusi ketika pengiraan undi giat dijalankan.

Enam kerusi itu ialah Likas, Luyang, Kapayan, Elopura, Tanjong Papat dan Sri Tanjong.


7.00 malam: BN pertahan kerusi Tanjong Batu

Ketua Pemuda BN Asyraf Wajdi mengumumkan ahli exconya Andi Muhammad Suryady Bandy berjaya mempertahankan kerusi Tanjong Batu untuk BN.

Alhamdulillah, keputusan tidak rasmi sahabat saya Exco Pemuda UMNO Malaysia Andi Suryadi BN menang di Dun Tanjung Batu.

— Dr Asyraf Wajdi (@drasyrafwajdi) September 26, 2020

Belum dapat pengesahan dakwaan Asyraf.

Pada 2018, calon BN Hamisa Samat menang kerusi Tanjong Batu dengan memperolehi 50.8 peratus undi.


Join our Telegram Channel
Telegram