Liew Vui Keong tenat di ICU, masih tak sedarkan diri



Ahli Parlimen Batu Sapi, Liew Vui Keong masih tidak sedarkan diri dan sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, kata Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Jaujan Sambakong.

Menurutnya, setakat ini, pelawat belum dibenarkan menziarahi bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang juga adalah pengerusi tetap Warisan yang dilaporkan kritikal (tenat) akibat radang paru-paru.


"Pada awal kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah beliau masih sihat. Namun, di akhir kempen beliau dilaporkan tidak sihat.

"Setakat ini, pelawat belum dibenarkan menziarahi beliau. Semalam, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ingin melawat beliau, tapi belum dibenarkan," katanya yang dipetik portal Berita Harian Online.


Liew juga adalah pengarah jentera pilihan raya Warisan Plus bagi PRN Sabah pada Sabtu lalu. Pada PRN itu, Warisan Plus gagal mempertahankan negeri itu yang ditumbang kepada gabungan Perikatan Nasional, BN dan Gabungan Parti Sabah (GPS).

Pada pilihan raya umum ke-14 2018, Liew merampas kerusi Parlimen Batu Sapi di bawah tiket Warisan daripada calon Parti Bersatu Sabah, Linda Tsen Thau Lin dengan majoriti 4,619 undi. – Mkini 




Join our Telegram Channel
Telegram