Ini bukan masa sesuai adakan PRU – Dzulkefly Ahmad



Bekas menteri kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berpendapat sekarang bukan masa sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) berikutan peningkatan kes baru Covid-19.

Katanya, langkah untuk mengadakan pilihan raya mengejut mungkin menyebabkan negara ini kembali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti dilakukan beberapa bulan lalu.

"Kita lihat ini dengan objektif. Ini bukan masa yang sesuai. Tun M (Dr Mahathir Mohamad) pun buat kenyataan (buat pilihan raya mengejut). Tapi kita sudah nampak apa yang berlaku di Sabah (semasa pilihan raya negeri).

"Keadaan akan jadi 'sesak' jika buat membuat pilihan raya mengejut. Walaupun ada SOP, bukan senang untuk dipatuhi lebih-lebih ketika berkempen," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.


Dr Dzulkefly yang juga anggota parlimen Kuala Selangor dari Amanah berkata demikian ketika diminta mengulas desas desus bahawa parlimen akan dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU.

Ini selepas Presiden PKR, Anwar Ibrahim pada 23 Sept lalu mendakwa mempunyai sokongan majoriti daripada anggota parlimen untuk menubuhkan kerajaan baru.

Anggota parlimen Port Dickson itu juga mendakwa mempunyai majoriti kukuh dan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin telah tumbang.

Susulan itu Muhyiddin menegaskan masih memegang jawatan perdana menteri selagi Anwar tidak membuktikan mempunyai cukup majoriti.

Muhyiddin sebelum ini juga mengatakan PRU akan segera diadakan sekiranya Perikatan Nasional memenangi pilihan raya Sabah.


Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata pelaksanaan semua PKP sekiranya berlaku peningkatan kes Covid-19 pastinya akan menjejaskan semula ekonomi.

"Kita baru nampak perniagaan dibuka semula dan ada yang kembali kepada keadaan asal. 

"Jika dikenakan semula PKP, semuanya akan terjejas.

"Saya percaya semua pihak perlu bipartisan dalam perkara ini. Semua pihak perlu lebih memberi tumpuan kepada rakyat dan negara berbanding pegangan politik untuk mengadakan pilihan raya mengejut hanya kerana hilang kuasa," katanya.

Semalam, sebanyak 101 kes harian Covid-19 direkodkan, menjadikan kes akif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini adalah sebanyak 1,062 kes.

Sabah menyumbang kes tertinggi iaitu sebanyak 73 kes manakala empat lagi kluster baru dikenalpasti. – Mkini 


ARTIKEL BERKAITAN:



Join our Telegram Channel
Telegram